Rosacea merupakan penyakit kulit kronik yang sering disalah anggap sebagai jerawat biasa atau sekadar kulit sensitif.
Hakikatnya, keadaan ini jauh lebih kompleks kerana ia melibatkan gangguan pada saluran darah di bawah kulit yang menjadi terlalu dekat dengan permukaan kulit.
Apabila saluran darah ini berada hampir dengan lapisan paling atas kulit (skin barrier), wajah menjadi mudah merah, panas dan sensitif, khususnya di bahagian tengah muka seperti hidung, pipi dan dagu.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan fizikal, malah turut menjejaskan keyakinan diri pesakit apabila perubahan pada wajah menjadi ketara.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, rosacea berlaku apabila saluran darah di bawah kulit lebih mudah mengembang apabila suhu meningkat.
“Perubahan ini mencetuskan tindak balas sistem imun yang menjadi terlalu sensitif di kawasan tersebut, menyebabkan keradangan berpanjangan, rasa pedih, panas dan kemerahan yang jelas pada wajah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pesakit sering mengalami muka tiba-tiba menjadi kemerahan walaupun tanpa sebab yang jelas.
Faktor genetik
Rosacea boleh berlaku disebabkan faktor genetik, di mana individu yang mempunyai ahli keluarga dengan masalah ini lebih berisiko untuk mengalaminya.
Walaupun sering dikaitkan dengan individu berkulit cerah, rosacea sebenarnya turut berlaku pada individu berkulit gelap, namun lebih sukar dikesan.
Dalam kalangan masyarakat Asia, keadaan ini sering disalah anggap sebagai jerawat yang berpanjangan atau tidak sembuh-sembuh, menyebabkan ramai pesakit mendapatkan rawatan yang tidak sesuai sehingga keadaan menjadi lebih teruk.

Dari segi jantina, wanita lebih kerap mengalami rosacea, tetapi lelaki yang mengalaminya boleh mendapat komplikasi lebih serius seperti rhinophyma iaitu hidung menjadi besar dan menebal akibat keradangan kronik.
Tanda awal dan pencetus rosacea
Menurut Dr. Hamidah, antara tanda awal rosacea ialah kemerahan pada wajah yang berlaku ketika terdedah kepada panas, makanan pedas, senaman atau emosi seperti marah dan anxiety.
Pada peringkat awal, ia kelihatan seperti ‘blushing’ biasa, namun lama-kelamaan menjadi lebih kerap, disertai rasa panas, pedih dan kulit yang semakin sensitif terhadap.
“Keadaan ini sering diabaikan kerana dianggap normal, sedangkan ia merupakan tanda awal penyakit kronik yang semakin berkembang,” katanya.
Selain itu, faktor gaya hidup seperti senaman berlebihan yang menyebabkan peluh juga boleh mencetuskan rosacea dengan lebih teruk.
Dalam masa yang sama, penggunaan produk kecantikan yang tidak sesuai juga boleh memburukkan keadaan, terutamanya produk yang mengandungi alkohol, asid kuat, wangian berlebihan, SLS, paraben, retinol berlebihan dan menthol.
Rosacea tidak boleh sembuh, boleh dikawal
Menurutnya, rosacea merupakan penyakit kronik yang tidak boleh sembuh sepenuhnya, namun boleh dikawal dengan rawatan yang betul dan konsisten.
Rawatan paling utama ialah laser vaskular seperti PDL dan NDA, yang berfungsi mengecilkan saluran darah di bawah kulit dan mampu mengawal sehingga sekitar 75 peratus gejala kemerahan.
Namun begitu, rawatan ini perlu disokong dengan penjagaan kulit harian yang betul untuk kesan jangka panjang.
Rawatan seperti steam facial, microdermabrasion dan chemical peel tidak digalakkan kerana boleh mencetuskan iritasi dan memburukkan keadaan kulit yang sensitif.
Sebaliknya, pesakit perlu fokus kepada rawatan yang menenangkan kulit serta membantu memperbaiki skin barrier.
Produk penjagaan kulit yang sesuai untuk rosacea mestilah bersifat sensitif, hypoallergenic, bebas alkohol, bebas SLS, bebas formaldehyde dan bebas wangian.
Bahan seperti centella asiatica sangat digalakkan kerana membantu menenangkan kulit dan menguatkan skin barrier, yang merupakan asas utama dalam mengawal rosacea.
Kesan kepada emosi
Selain memberi kesan fizikal pada kulit, rosacea memberi impak besar terhadap emosi pesakit. Ramai mengalami kegelisahan dan kemurungan akibat rasa malu dengan keadaan wajah mereka.
Keadaan ini menyebabkan mereka cenderung untuk mengelak daripada bergambar atau berinteraksi secara sosial kerana bimbang akan ditegur atau menjadi perhatian orang sekeliling.
Secara tidak langsung, ia memberi kesan kepada keyakinan diri dan kualiti hidup harian pesakit.
Tekanan emosi ini juga boleh memburukkan lagi keadaan kulit, mewujudkan kitaran gejala yang berulang.










