KEMAMAN: Gara-gara risau kediaman runtuh akibat hakisan ketika fenomena air pasang besar, segelintir penduduk di Kampung Geliga Baru, di sini sanggup berjaga pada waktu malam.
Suriati Ariffin, 44, berkata, dia dan suami, Razman Abd. Ghani, 45, terpaksa bergilir-gilir melakukan tugasan itu bagi memastikan keselamatan mereka enam beranak terjamin.
Katanya, kekangan kewangan menyebabkan mereka masih tinggal di kediaman itu sejak 20 tahun lalu walaupun perlu bergadai nyawa.
“Pada musim tengkujuh ini, hampir setiap malam rumah kami bergegar akibat angin dan ombak kuat, malah air laut turut masuk ke bahagian dapur.
“Suami cuma bekerja kampung dan kehidupan kami sekadar cukup makan dengan kesemua anak masih belajar di institut pengajian tinggi dan bersekolah,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penduduk, Yahnina Abdul Ghani, 46, berkata, selain ancaman hakisan, dia juga bimbang kediaman yang disewa sejak setahun lalu dihempap pokok kelapa susulan angin kencang ketika ini.
“Saya tidak selesa tinggal di sini kerana kalau air pasang besar melanda, rumah banjir hingga ke paras lutut tetapi kami tidak berkemampuan untuk berpindah lagi kerana pendapatan suami sebagai nelayan tidak seberapa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah hakisan pantai di kawasan tersebut.
“Laporan sudah dihantar kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) negeri bagi dirujuk kepada pihak Pusat untuk membina benteng pemecah ombak, jika tidak diselesaikan segera kita bimbang masalah hakisan berlarutan ke Pantai Teluk Mak Nik,” katanya. -UTUSAN ONLINE










