PETALING JAYA: MIC mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya memberi alasan munasabah sekiranya masih mahu Friends of BN bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) ekoran kegagalan parti serpihan kaum India itu dalam tempoh 15 tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, ini kerana parti-parti itu tidak memberi sumbangan atau sebarang peningkatan usaha dalam membantu kejayaan BN sepanjang tempoh tersebut.
“Kalau dalam 15 tahun ini, tidak ada sebarang peningkatan, apa gunanya untuk masa mendatang ini? Apa sumbangan? Mana jentera, anda kena cakap semualah.
“Tapi tak apa, oleh kerana kepimpinan BN nak juga bagi mereka ini bertanding, okey tak ada masalah. Kita MIC faham tapi anda mesti bagi alasan yang munasabah.
“Takkan saya punya kawan selama 30 tahun, saya bagi dia datukship tansriship, boleh ke parti terima,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebelum ini, bekas Presiden MIC, Datuk G. Palanivel pada Julai 2011 turut menyuarakan kebimbangan dan membantah penglibatan parti politik berasaskan kaum India di negara ini yang menyertai BN sebagai parti komponen, sebaliknya hanya bersetuju jika menjadi ahli gabungan atau bersekutu .
Antara parti politik berasaskan kaum India ialah Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), Malaysia Makkal Sakti (MMS) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA)
Tambah Vigneswaran, walaupun BN memberi sokongan kepada MIC, tetapi dalam masa sama BN menjemput pula parti seperti Hindraf yang diketuai P. Waytha Moorthy menjadi timbalan menteri pada 2013, malah turut memberi kebenaran kepada MMS dan parti-parti yang sekian lama telah bekerja menentang BN.
“Dulu semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad, tiada siapa yang dapat pingat pun kena jumpa MIC. Maka MIC adalah mustahak. Tetapi di bawah pentadbiran selepas Tun Mahathir, anda boleh jumpa siapa-siapa pun. Mereka akan buat keputusan, dia bagi peruntukan semua, lepas itu bila tak ada undi, tanya pula masalah kepada MIC.
“Mana pergi Friends of BN? 15 tahun, 20 tahun, tidak pernah sekalipun dia tanya mana pergi mereka punya sokongan? Anda yang bagi peruntukan, anda yang bagi semua, anda layan mereka, lepas bila tak ada undi anda tanya MIC juga. Mana pergi undi dan apa yang berlaku ialah kita (BN) sering ditikam dari belakang oleh Friends of BN, musuh kepada MIC,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kegagalan Friends of BN tidak boleh diletakkan di bahu MIC semata-mata ekoran BN sendiri yang membuka peluang untuk parti itu bersama dalam perjuangan sekali gus mewujudkan monopoli dalam dunia kepimpinan Melayu,” katanya. – UTUSAN










