Mayat PATI bot karam ditemukan di perairan Singapura - Utusan Malaysia

Mayat PATI bot karam ditemukan di perairan Singapura

PASUKAN penyelamat melakukan pencarian dua lagi PATI yang hilang selepas bot pancung dinaiki karam di Teluk Ramunia, Kota Tinggi di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Satu mayat lelaki warga Indonesia ditemukan di perairan Singapura dipercayai mangsa kejadian bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di Teluk Ramunia, di sini Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan mayat itu di kedudukan lima batu nautika barat daya Changi Naval Base, Singapura pada pukul 12 tengah hari semalam.

“Mayat yang ditemukan itu dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot terbalik. Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mayat dipercayai mangsa telah mati lebih daripada dua hari.

“Mangsa berusia 39 tahun warga Indonesia dan disyaki salah seorang daripada tiga baki mangsa yang hilang semasa kejadian bot karam tempoh hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya Op Carilamat yang memasuki hari keempat diteruskan bagi mencari baki dua lagi mangsa yang dipercayai hilang dengan sektor pencarian di laut merangkumi seluas 54 batu nautika persegi.

Pencarian di pesisir pantai sepanjang 20 kilometer dengan penglibatan seramai 76 petugas dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti maritim.

Terdahulu media melaporkan lima maut manakala tiga disyaki hilang selepas bot pancung membawa 27 penumpang dipercayai PATI warga Indonesia karam di perairan Teluk Ramunia pukul 4.50 pagi Khamis lalu.

Kesemua PATI itu dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Tondang di Pulau Bintan, Indonesia menggunakan bot kayu sepanjang 45 kaki dan disyaki hendak mendarat di kawasan sekitar perairan Teluk Ramunia sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa.

Bot pancung menggunakan tiga enjin dengan 600 kuasa kuda disyaki karam disebabkan keadaan cuaca selain berkemungkinan juga kerana menggunakan kelajuan maksimum.

Kesemua 19 orang mangsa yang diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia dibawa ke Pos Tanjung Sepang untuk siasatan lanjut manakala lima  mayat tersebut dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.

Kejadian berkenaan merupakan cubaan ketiga melibatkan PATI yang cuba memasuki perairan negara melalui jalan tidak sah dan kedua yang melibatkan bot karam dalam tempoh dua bulan ini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya