Kembalikan fungsi asrama harian - Utusan Malaysia

Kembalikan fungsi asrama harian

FUNGSI asrama sekolah harian sangat perlu untuk pelajar yang tinggal di pedalaman. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengembalikan fungsi dan pe­ranan sekolah asrama harian un­tuk golongan B40 dan murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman agar mereka tidak tercicir daripada agenda pendidikan negara.

Sekolah asrama harian sebelum ini banyak membantu mu­rid-murid dalam kalangan ke­luarga kelompok B40, miskin dan yang tinggal di luar bandar meneruskan persekolahan mereka hingga ke tingkatan lima.

Peranan asrama harian sejak 1960-an dan 1970-an telah ber­jaya menghasilkan ramai mu­rid miskin yang berjaya kerana mereka dapat meneruskan pem­belajaran dan bukannya berhenti ketika darjah enam atau tingkatan tiga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, namun fungsi dan pera­nan asrama harian pada hari ini sudah tidak lagi berlandaskan kepada tujuan asalnya.

“Asalnya, sekolah asrama ha­rian diwujudkan bagi me­nempatkan murid-murid miskin dan yang tinggal jauh di pe­dalaman dengan memberikan me­reka peluang untuk belajar se­penuh masa.

“Namun, asrama harian lama-kelamaan dipenuhi dengan pelbagai jenis golongan dan ke­utamaannya bukan lagi kepada golongan miskin dan pedalaman,” katanya.

Beliau mengulas masalah keciciran pelajaran selepas kira-kira 100 murid terlepas menghadiri hari pertama sesi persekolahan kerana kereta api yang sepatutnya tiba pukul 7 pagi tidak berhenti di hentian di Kuala Krai, Kelantan.

Selain itu, seramai 77 pelajar Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi memulakan sesi persekolahan, memandangkan sekolah mereka terletak kira-kira 40 kilometer daripada rumah mereka.

Justeru, beliau meminta supaya Kementerian Pendidikan menyemak semula fungsi dan peranan sekolah asrama harian.

“Ada sekolah asrama harian yang masih kira pencapaian berapa A, sedangkan sekolah ini tujuan asalnya adalah membantu murid miskin dan pedalaman. Berilah peluang kepada golongan ini supaya masa depan mereka terjamin.

“Jadi, kembalikanlah fungsi dan peranan asrama harian ini. Sejak 1960-an dan 1970-an, sistem ini berjaya menghasilkan ramai murid miskin yang berjaya kerana mereka meneruskan pembelajaran dan bukannya berhenti ketika darjah enam atau tingkatan tiga. Peluang belajar lebih baik di asrama harian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, banyak isu akan selesai jika kerajaan mengembalikan fungsi dan peranan sekolah asrama harian.

Beliau berkata, antara isu pa­ling utama adalah membabitkan aspek keciciran pelajar yang ba­nyak berlaku terutama di sekolah-sekolah luar bandar.

“Keciciran dalam erti kata lain tidak datang ke sekolah. Mereka (pelajar) sebenarnya bukan tidak berminat untuk hadir ke sekolah tetapi tiada kemudahan asrama.

“Keadaan sekolah yang jauh dari kediaman mereka dan kesukaran perjalanan juga telah menjadi sebab untuk mereka tidak hadir ke sekolah dan kesannya mereka ketinggalan pelajaran,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tinggal di asrama juga dapat membantu pelajar memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran kerana suasananya baik untuk belajar.

“Berbanding pelajar yang tinggal di luar, biarpun bebas mengatur kegiatan atau masa belajar, mereka berdepan dengan kesukaran mendisiplinkan diri untuk belajar,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kehidupan di asrama menyeronokkan kerana selain mendapat ramai kawan, ia tidak membosankan dan dipenuhi pelbagai kegiatan yang diaturkan oleh pihak pengurusan asrama serta sekolah.

“Kesannya, wujud perkembangan sosial dan kognitif pelajar sebab mereka bergaul dengan rakan lain yang pelbagai kebolehan,” katanya.

Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan turut bersependapat peluang kemasukan ke asrama perlu diberi kepada pelajar yang tidak berkemampuan sekurang-kurangnya 25 peratus.

“Sepatutnya itu adalah keistimewaan buat mereka yang patut kita berikan kerana pelajar-pelajar tersebut lebih memerlukan kemudahan itu. Saya juga percaya jika peluang diberi kepada anak-anak itu mereka akan menggunakan peluang tersebut sehabis baik demi mengubah mutu kehidupannya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN