Kaji semula dasar penebangan, pengurusan hutan - Tok Mat

Kaji semula dasar penebangan, pengurusan hutan – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Malaysia mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan di samping menghentikan penggunaan plastik sekali guna sejajar langkah agresif untuk menangani kesan perubahan cuaca.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, malah negara ini perlu melihat kepada mewajibkan semua pembangunan baharu yang beralih kepada teknologi tenaga cekap sepenuhnya dan sasaran penggunaan kenderaan eletrik sepenuhnya menjelang 2035.

Katanya lagi, Malaysia memerlukan tindakan agresif menangani punca perubahan cuaca apabila fenomena kemarau berpanjangan, krisis air meruncing, ketidaktentuan musim hujan, banjir luar biasa serta pencemaran pada skala mega menjadi kelaziman baharu jika tiada tindakan radikal dilakukan dalam dasar alam sekitar.

“Menjadikan negara neutral karbon menjelang 2050 adalah sasaran yang tidak realistik, jika tiada perubahan radikal dalam cara kita mengurus hutan, merancang pembangunan, mengurus sungai dan yang yang paling penting, menukar gaya hidup rakyat.

“Sudah sampai masanya Malaysia mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan,  menghentikan penggunaan plastik sekali guna, mewajibkan semua pembangunan baru beralih kepada teknologi tenaga cekap sepenuhnya, juga mensasarkan penggunaan kenderaan eletrik sepenuhnya menjelang 2035.

“Dasar kelestarian kita memerlukan sesuatu yang benar-benar menggoncang dan menggegarkan. Sesuatu yang benar-benar luar biasa dan berdampak berganda. Bukan sesuatu yang incremental dan reaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tanggapan bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur.

Justeru itu tegas beliau, rakyat Malaysia memerlukan jaminan keselamatan insan, melalui dasar yang jelas dan tindakan nyata manakala kerajaan yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan insan, adalah Kerajaan yang tidak mengerti kehendak semasa dan keperluan masa depan rakyatnya.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan peningkatan ketara ancaman semasa adalah keselamatan insan khususnya membabitkan pandemik Covid-19 dan perubahan cuaca apabila kedua-duanya adalah ancaman keselamatan bukan sahaja tradisional tetapi kepada keselamatan negara.

“Bukan sahaja jumlah yang terkorban sangat ketara, kedua-duanya juga menjerumuskan jutaan rakyat ke tahap lebih miskin kerana kehilangan pekerjaan, tertutupnya peluang pendidikan dan kesukaran untuk membangun perniagaan dan keusahawanan.

“Rakyat yang terjejas merasa tidak lagi selamat. Kehilangan punca pendapatan, harta benda, kemusnahan prasarana serta pergerakan terbatas kerana protokol kesihatan yang ketat, semuanya adalah ancaman nyata kepada keselamatan insan. Semua ini menuntut perubahan paradigma dalam kita mengurus dasar keselamatan negara. 

“Modernisasi aset keselamatan dan pertahanan sahaja, tidak akan mencukupi untuk menangani kedua-dua ancaman tersebut. Apalagi sekadar memperbaiki kemudahan prasarana yang terjejas teruk kerana banjir yang luar biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN