Hak PM rombak Kabinet - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Hak PM rombak Kabinet – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin menyantuni mangsa banjir di PPS Balairaya Kampung Jawa, Lenga, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai hak untuk membuat sebarang perubahan dalam barisan Kabinet mengikut perancangan tersendiri.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau ada membaca berita berkaitan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut termasuk kewajaran melakukan perkara berkenaan.

“Saya bukan Perdana Menteri, elok tanya Perdana Menteri (Ismail Sabri) dan kalau ada pun itu perancangan Perdana Menteri.

“Saya tak boleh nak komen, itu hak Perdana Menteri sama ada nak rombak atau tak rombak, itu hak dia. Tetapi, biasalah dalam politik, orang buat ramalan, jadi terserah kepada Allah SWT dan Perdana Menteri untuk putuskan,” kata bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh itu semasa meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Jawa di Lenga, dekat sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri di­jang­ka melakukan rombakan Ka­binet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu ha­dapan.

Malah, Ismail Sabri ketika mengulas khabar angin itu berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi.

Sementara itu di Arau Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, Perdana Menteri perlu berani melakukan rombakan Kabinet bagi menggantikan beberapa menteri atau timbalan yang dilihat gagal memainkan peranan khususnya dalam menangani bencana banjir baru-baru ini.

Jika tidak ada rombakan Kabinet, Perdana Menteri perlu bersedia membubarkan Parlimen bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus meredakan sedikit kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rusdi berkata, masalah koordinasi antara kementerian sehingga saling menyalahkan sesama sendiri paling jelas kelihatan ketika berdepan dengan bencana banjir tersebut.

“Perdana Menteri mahu tidak mahu kena berani membuat keputusan (rombakan Kabinet) kerana rakyat jelas tidak gembira dengan prestasi sesetengah menteri khususnya dalam menangani banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN