E-Skrol atasi masalah ijazah palsu - Utusan Malaysia

E-Skrol atasi masalah ijazah palsu

Graduan UIAM mencuba aplikasi e-Skrol bagi mengesan kesahihan sekali gus mengelak pemalsuan ijazah. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan aplikasi E-Skrol menggunakan teknologi rantaian (blockchain) yang akan digunakan oleh para graduan UIAM.

Sistem yang dibangunkan UIAM itu bukan sahaja dapat membantu menangani masalah pemalsuan skrol yang berleluasa, tetapi juga memudahkan pengesahan skrol graduan UIAM di dalam dan luar negara.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, teknologi blockchain mempunyai ciri unik yang sememangnya kalis terhadap pengubahsuaian data kerana setelah direkodkan, data dalam blok tidak boleh diubah kembali.

Ujarnya, UIAM dengan kerjasama MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh berkongsi kepakaran dalam pembangunan e-Skrol supaya penggunaanya diperluaskan di institut pengajian tinggi awam dan swasta dalam dan luar negara.

“Graduan UIAM, majikan dan orang awam yang memerlukan pengesahan skrol ijazah hanya perlu mengakses laman portal yang disediakan bagi mendapatkan pengesahan secara dalam talian.

“Dengan adanya sistem e-Skrol yang menggunakan teknologi blockchain itu, MOSTI percaya keyakinan majikan terhadap graduan dapat dipertingkatkan khususnya bagi pengambilan pekerja di organisasi dan syarikat masing-masing,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran platform aplikasi e-Skrol di sini, kelmarin.

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berharap, kerjasama berkenaan dapat mempercepatkan pembangunan teknologi tersebut.

“Kami komited dan mempunyai satu pasukan yang mempunyai kepakaran baik memandangkan kami telah mengetuai sebuah konsortium yang terdiri daripada universiti-universiti awam untuk melancarkan aplikasi e-Skrol pertama di Malaysia pada 2019.

“Melalui pengalaman itu, kami yakin ia mempunyai potensi yang lebih luas dan kami menyasarkan ia dapat diluaskan bukan sahaja ke universiti awam, malah universiti swasta, politeknik dan mungkin di peringkat-peringkat sekolah,” katanya.

Aplikasi itu dibangunkan oleh IIUM Advanced Technologies Sdn. Bhd. (IAT), anak syarikat UIAM yang pakar dalam pembangunan teknologi.

Platform itu mengesah, menyimpan dan memaparkan maklumat ijazah yang boleh dicapai melalui aplikasi web di seluruh dunia secara pantas dan telus tanpa sebarang gangguan.

Projek e-Skrol itu telah dijayakan dengan bantuan geran Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) oleh MOSTI.

Geran penyelidikan tersebut membolehkan penyelidik, inovator dan usahawan menguji produk dan perkhidmatan, seterusnya membawa produk ke pasaran.

Dalam perancangan masa depan, aplikasi itu akan diperluaskan bagi pengesahan akreditasi sijil Diploma, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Tahfiz di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.