Dua tahun hanya 3,611 PATI dikesan - Utusan Malaysia

Dua tahun hanya 3,611 PATI dikesan

SEBAHAGIAN PATI yang terselamat dalam kejadian bot karam ketika cuba menyeludup masuk ke Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor Disember tahun lalu. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 3,611 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke negara ini dikesan oleh pihak polis dalam tempoh dua tahun lalu walaupun jumlah yang terlepas dipercayai lebih ramai.

Dengan kawalan ketat oleh pihak berkuasa termasuk ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun 2020, pintu sempadan negara masih tetap dibolosi PATI yang mencari kehidupan lebih baik di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, jumlah itu melibatkan 1,898 orang yang ditahan pada 2020 manakala 1,713 lagi untuk tempoh 11 bulan tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya turut membuat tangkapan seramai 733 penyeludup seperti ejen, tekong atau transporter bagi tempoh sama.

“Pemeriksaan mendapati kebanyakan PATI yang ditahan diseludup masuk menggunakan laluan tikus sama ada di darat atau melalui laut.

“Daripada 3,611 yang diseludup masuk, seramai 2,226 orang adalah lelaki, 811 pula wanita manakala kanak-kanak ialah 134 orang.

“Bagaimanapun, jumlah PATI yang diseludup masuk pada tahun ini sedikit menurun. Ini ekoran kawalan ketat oleh semua agensi penguat kuasa di pintu-pintu sempadan bagi memastikan tidak dibolosi warga asing,” katanya di sini.

Dalam pada itu, jelas Fadil, warga Indonesia dikenal pasti adalah tertinggi yang diseludup ke negara ini iaitu seramai 2,477 orang.

Menurut beliau, ini diikuti dengan Myanmar (323); Thailand (265); Filipina (140) dan Bangladesh (40) orang.

“Warga asing tersebut dipercayai membayar sejumlah wang kepada sindiket atau ejen bagi menguruskan proses untuk diseludup masuk atau keluar dari negara ini.

“Mereka ini datang ke negara ini secara sukarela dengan harapan untuk mencari rezeki namun menggunakan cara haram tanpa melalui proses yang sah,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, sebuah bot membawa kira-kira 50 penumpang warga Indonesia karam selepas dipukul ombak akibat cuaca buruk berhampiran Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.

Bot tersebut dipercayai membawa PATI dari Batam, Indonesia untuk diseludup masuk.

Bot pancung tersebut sepatutnya mendaratkan kesemua penumpang di Kampung Tengah namun, kehadiran mereka dipercayai disedari pihak berkuasa sehingga tekong mengubah laluan untuk mendarat di Tanjung Balau sebelum karam.

Setakat ini seramai 21 PATI maut, 14 terselamat manakala 16 lagi masih tidak diketahui status mereka.

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, sepanjang tahun ini, tiada sebarang pendaratan PATI direkodkan di perairan Kedah dan Perlis.

Ujar beliau, Maritim Malaysia Kedah/Perlis berjaya mengesan kali terakhir pendaratan PATI Rohingya pada Jun dan Julai tahun lalu di perairan Langkawi yang melibatkan seramai 295 orang.

Mingguan Malaysia semalam mendedahkan Malaysia langsung tiada data mengenai pelarian malah tiada mekanisme penyusunan yang mengakibatkan sukar mengesan kes jenayah dan penjenayah dalam kalangan kumpulan itu.

Pegawai Turus Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Ridzuan Abdul Aziz dilaporkan berkata, jenis data pelarian yang ada hanyalah diperoleh melalui UNHCR iaitu seramai 187,000 orang.

Katanya, negara tidak mempunyai data seperti biometrik dan sebagainya bagi mengenal pasti maklumat, lokasi, tempat tinggal dan rekod perkahwinan.

“Jadi, tiadanya data dari segi pengenalan dan maklumat diri banyak mendatangkan masalah kepada siasatan polis dan agensi penguat kuasa lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN