fbpx

23 Mei 2022, 3:44 pm

  TERKINI

Bomba guna ‘water bombing’ padam kebakaran tapak sampah

PASUKAN Bomba dan Penyelamat menggunakan kaedah pengeboman air atau 'water bombing' untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Usaha memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung dekat sini yang memasuki hari kelapan hari ini diteruskan menggunakan kaedah pengeboman air (water bombing). 

Berkongsi perkara itu, Ketua Menteri  Chow Kon Yeow berkata, kaedah pemadaman dari udara itu kini sedang giat dijalankan pagi tadi bagi memadam api yang masih lagi marak di kawasan tersebut. 

Jelas beliau, operasi hasil keputusan Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) itu dijalankan oleh lapan anggota menggunakan dua helikopter dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang. 

“Operasi kini adalah tertumpu di dua seksyen di Fasa 1 tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan dijangka berterusan sehingga petang. 

“Satu bom air boleh mengisi sehingga 1,600 liter air,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini. 

Sejak dikesan Rabu lalu, kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung melibatkan keluasan kira-kira tujuh hektar masih gagal dipadamkan sepenuhnya sehingga ke hari ini. 

Ekoran itu, kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga di kawasan sekitar iaitu Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru diarahkan berpindah sementara berikutan kualiti udara yang tercemar dengan 44 daripada mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan di SK Bakap Indah.  

Kejadian itu juga menyebabkan sebanyak 10 buah sekolah berdekatan diarahkan ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan indeks udara menunjukkan kepekatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa.  – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI