TH lancar program kebersihan penginapan, masyair 

TH lancar program kebersihan penginapan, masyair 

ZULKIFLI Hasan melancarkan Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Mekah dan Program Kebersihan Masyair di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Mekah dan Program Kebersihan Masyair sebagai usaha memperkukuh budaya kebersihan dalam kalangan jemaah serta petugas haji Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program yang dilaksanakan sejak 2017 itu turut mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi sebagai inisiatif nilai tambah jemaah Malaysia dalam meningkatkan standard kebersihan operasi tahunan di Tanah Suci.

Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan aspek kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah sentiasa diberi perhatian secara menyeluruh, khususnya melibatkan kebersihan, kesihatan dan keselesaan persekitaran sepanjang musim haji.

“Program ini akan menanam nilai tanggungjawab bersama bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada ibadah dan akhlak seorang Muslim.

“Ibadah haji bukan sekadar perjalanan menuju Kaabah, tetapi perjalanan mendidik hati menjadi lebih beradab terhadap manusia dan juga persekitaran,” katanya ketika melancarkan Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Mekah dan Program Kebersihan Masyair di sini semalam.

Menurut Zulkifli, persekitaran penginapan dan kawasan ibadah yang bersih serta teratur bukan sahaja membantu keselesaan jemaah, malah mampu mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit dan isu kesihatan awam terutama di kawasan berkepadatan tinggi seperti Masyair.

Katanya, usaha itu juga selari dengan aspirasi Visi Saudi 2030 yang memberi penekanan terhadap peningkatan standard kebersihan dan pengurusan persekitaran di Tanah Suci.

“Bagi Program Kebersihan di Mekah, fokus diberikan kepada kebersihan bilik penginapan, ruang awam, surau, pengurusan sisa pepejal dan makanan, selain disiplin penggunaan kemudahan bersama termasuk tandas dan lif.

“Sementara itu, Program Kebersihan Masyair pula memberi penekanan terhadap pengurusan sampah secara sistematik, kebersihan khemah dan laluan pejalan kaki, pengurangan pembaziran makanan serta penggunaan tandas secara berhemah,” katanya.

Menurut beliau, kawasan Masyair seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina memerlukan tahap disiplin kebersihan yang tinggi berikutan kepadatan jutaan jemaah serta keadaan cuaca panas ketika kemuncak ibadah haji.

“Menjaga kebersihan bukan sekadar memenuhi tuntutan kesihatan dan pengurusan operasi, malah ia manifestasi akhlak Islam serta penghormatan kita sebagai tetamu Allah,” katanya.

TH berharap kedua-dua program itu dapat menjadi gerakan kolektif dalam membudayakan kebersihan sebagai identiti jemaah haji Malaysia.

“Kadangkala menjaga kebersihan bukan bermula dengan program besar, tetapi bermula dengan satu tangan yang mengutip sampah kerana cinta kepada Allah dan hormat kepada tetamunya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN