Putik melon terbuang jadi jeruk

Putik melon terbuang jadi jeruk

SITI Nur Asiah Ibrisham menunjukkan produk jeruk yang dihasilkan daripada putik buah Melon Manis Terengganu (MMT) di Kampung Alor Lintang, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kreativiti seorang petani Melon Manis Terengganu (MMT) di Kampung Alor Lintang di sini, menghasilkan jeruk putik me­lon berjaya mengubah tanaman itu yang sebelum ini dibuang menjadi produk makanan unik dan mendapat sambutan pe­langgan.

Pengusaha tanaman melon, Siti Nur Asiah Ibrisham, 33, berkata, idea menghasilkan jeruk itu tercetus pada 2021 selepas tanaman mereka me­ngalami kerosakan akibat sera­ngan penyakit yang mana pokok tersebut mati sebelum buahnya dapat dituai.

Ekoran itu, katanya, dia perlu melakukan sesuatu bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar kerana ketika itu buah tersebut telah berusia beberapa minggu.

“Saya cuba menghasilkan jeruk buah MMT yang dikatakan sebelum ini belum pernah dibuat pengusaha lain. Alhamdulillah ia boleh diterima pe­langgan meskipun agak berbeza daripada buah-buahan yang se­ring dibuat jeruk.

“Selain itu, buah muda juga biasanya terpaksa dibuang bagi memastikan hanya sebutir buah terbaik dibiarkan membesar pada setiap pokok bagi menghasilkan buat bergred premium,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Alor Lintang.

Menurut Siti Nur Asiah, penghasilan produk baharu itu dapat meminimumkan jumlah pembaziran buah yang ditanam setiap musim dan putik buah berusia satu minggu menjadi pilihan pembuatan jeruk.

Lepasan Sarjana Muda Pe­ngurusan Ladang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawa­ngan Melaka Kampus Jasin itu berkata, proses menghasilkan jeruk mengambil masa kira-kira dua minggu dengan menggunakan bahan asas seperti garam, air gula dan cuka.

Katanya, semasa awal pengeluaran jeruk itu, ramai pelanggan ragu-ragu untuk mencuba kerana belum pernah melihat produk berasaskan putik melon.

“Saya memberikan sampel percuma kepada orang ramai dan tidak menyangka ramai menyukai rasanya sehingga ada pelanggan yang terus tempah sehingga 20 paket seorang,” katanya.

Siti Nur Asiah berkata, setiap musim dia dan suaminya, Mohammad Izazul Abu Samah, 36, menanam kira-kira 3,000 pokok melon dan mampu menghasilkan sekitar 100 kilogram jeruk putik. Jeruk itu dijual pada harga RM6 bagi setiap paket seberat 150 gram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN