PETALING JAYA: Risto Vidakovic bakal meninggalkan Kuala Lumpur (KL) City FC selepas nama pengendali dari Serbia itu telah dikaitkan dengan kelab dari Brunei, DPMM FC bagi mengharungi musim 2026-2027.
Kejayaan Vidakovic membimbing KL City FC menamatkan saingan liga di kedudukan keempat keseluruhan pada musim ini menjadi salah satu sebab DPMM tertarik dengannya.
Selain Vidakovic, DPMM turut dilaporkan berminat mendapatkan khidmat beberapa pemain KL City FC antaranya Safawi Rasid, Ryan Lambert dan Declan Lambert.
Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia bakal bersara malah masih berminat untuk meneruskan kariernya.
Penjaga gol berusia 37 tahun itu dijangka meninggalkan Sabah selepas hamper lima tahun bersama pasukan itu sejak 2022.
Walaupun tidak menyatakan hala tujunya selepas ini namun difahamkan pemain yang dikenali sebagai Apek itu akan kembali beraksi bersama negeri kelahirannya, Kelantan.
Begitu pun, sehingga kini masih belum ada pengesahan rasmi pasukan Kelantan yang manakah akan menjadi pilihan Apek bagi menghadapi musim 2026-2027.
Apek merupakan tonggak Kelantan ketika membantu pasukannya itu memenangi kejuaraan treble selepas menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012. – UTUSAN










