PUTRAJAYA: “Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham.
“Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Azam, beliau yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki apa-apa kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Demikian antara penjelasan Azam berhubung dakwaan isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu.
Kemuncak kepada kontroversi tersebut apabila ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa badan itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.
Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular turut mencetuskan persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.
Selepas hampir seminggu kontroversi tersebut, Azam semalam buat kali pertama tampil memberi penjelasan panjang lebar mengenai perkara itu pada sidang akhbar khas dikendalikan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di sini semalam
Azam memberitahu, tuduhan kononnya terdapat ‘conflict of interest’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak tidak berasas sama sekali.
Menurutnya, beliau sudah menjelaskan kepada Panel LPPR bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan menegaskan beliau sendiri tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu.
“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
“Bagaimanapun, saham-saham tersebut telah dipindahkan kepada akaun saham beliau (Nasir) kemudiannya.
“Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham. Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Berhubung tuduhan bahawa beliau mengawal banyak syarikat, Azam berkata, dakwaan itu adalah satu persepsi negatif dan menggambarkan seolah-olah beliau mengawal satu konglomerat yang besar.
Menurutnya, dakwaan itu dilihat seperti mahu menjatuhkan reputasinya sebagai Ketua Pesuruhjaya dan institusi SPRM dan perbuatan tersebut berniat jahat.
Katanya, beliau sudah mendapatkan nasihat peguam dan memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasinya dan juga SPRM.
Azam mendakwa terdapat usaha oleh beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM dan sedang menjadikan dirinya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.
“Kita telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka malah, mereka telah menggunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM,” katanya.
Ditanya sama ada serangan demi serangan tersebut ada kaitan dengan kluster-kluster mahkamah dan kenamaan yang dikaitkan dengan rasuah, Azam berkata, ia kemungkinan betul atau tidak.
“Dalam kita menangkap orang berkaitan rasuah sama ada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak.
“Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya,” katanya. – UTUSAN










