69,205 lafaz talak luar mahkamah - Utusan Malaysia

69,205 lafaz talak luar mahkamah

SEBANYAK 6,088 kes tunggakan nafkah di Mahkamah Syariah seluruh negara sejak 2017 hingga 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 69,205 pasangan bercerai di luar mahkamah sepanjang 2018 hingga Oktober tahun lalu yang mana sebahagian besar suami didapati menyalahgunakan kuasa talak.

Angka itu adalah sebahagian daripada 212,080 kes perceraian yang direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerusi pendaftaran kes pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah dalam tempoh berkenaan yang turut melibatkan permohonan talak, khulu’ atau tebus talak dan taklik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, angka perceraian dalam kalangan pasangan Islam adalah amat membimbangkan dan suami dilihat begitu mudah melafazkan cerai terhadap isteri mereka.

Kata beliau, perkara ini berlaku kerana wujud peruntukan Seksyen 57 Undang-Undang Keluarga Islam yang secara tidak langsung seolah-olah membenarkan suami melafazkan talak di luar dan tanpa kebenaran mahkamah.

Di bawah seksyen itu, ia memberikan kuasa kepada Hakim Syarie untuk menentukan sama ada suami yang melafazkan cerai di luar dan tanpa kebenaran mahkamah adalah sah atau tidak yang mana Hakim Syarie hanya bertindak mengesahkan perceraian yang sudah berlaku.

Sedangkan, beliau berkata, terdapat peruntukan Seksyen 47 undang-undang berkenaan yang memperuntukkan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mempertimbangkan dan membenarkan suami melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie.

Beliau yang juga Ketua Pengarah JKSM berkata, peruntukan ini diwujudkan bagi memastikan seseorang suami melafazkan talak dalam keadaan yang terbaik di mana hakim akan menyiasat sama ada sesuatu perkahwinan itu boleh diselamatkan atau tidak.

Kata beliau, jika hakim berpandangan bahawa perkahwinan tersebut wajar dibubarkan, maka talak hanya dibenarkan untuk dilafazkan terhadap isteri yang berada dalam keadaan suci selain undang-undang juga memperuntukkan bahawa hanya satu talak dibenarkan dilafazkan suami berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila wujud Seksyen 57 undang-undang berkenaan, mahkamah tidak dapat memainkan peranannya untuk menilai keadaan pasangan dan seterusnya menyelamatkan perkahwinan mereka.

“Ini kerana suami berkenaan tidak mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum melafazkan talak,” katanya di sini semalam.

Dalam hal itu, kata beliau, usaha untuk mengawal kes perceraian tidak boleh dilaksanakan jika kuasa Mahkamah Syariah sekadar untuk mengesahkan sahaja lafaz suami tersebut di luar mahkamah.

“Selain mengawal kadar perceraian ada juga kemungkinan peruntukan Seksyen 57 ini akan disalahgunakan suami untuk menafikan hak tunggakan nafkah isterinya.

“Sebagai contoh, jika seorang suami telah gagal memberikan nafkah kepada isterinya selama dua tahun dari tahun 2019 hingga 2021, untuk nafikan hak isteri, dia boleh dakwa dan failkan permohonan pengesahan cerai dengan menyatakan bahawa perceraian telah berlaku pada tahun 2019,” katanya.

Dalam keadaan itu, jelas Mohd. Na’im, Mahkamah Syariah akan menilai dakwaan sama ada benar suami melafazkan talak pada tahun tersebut dan jika hakim berpuas hati untuk mensabitkan cerai berkenaan, maka isteri tersebut tidak boleh membuat tuntutan nafkah tertunggak bagi tahun 2019-2021.

Ini kerana, kata beliau, Mahkamah Syariah hanya berbidang kuasa untuk mengesahkan perceraian tersebut, rentetan itu, isteri berkenaan tidak boleh mengemukakan tuntutan tunggakan nafkah kerana beliau bukan lagi memegang status sebagai seorang isteri semenjak 2019.

“Jadi dalam isu ini, kita nak lihat apakah mekanisme kawalan cerai apabila Mahkamah Syariah hanya berbidang kuasa untuk mengesahkan lafaz cerai di luar Mahkamah sahaja. Begitu juga dengan isu penyalahgunaan kuasa talak oleh suami bagi mengelakkan tanggungjawab membayar nafkah,” katanya.

Beliau turut mengemukakan contoh lain salah guna talak luar mahkamah ialah suami mohon kebenaran poligami tetapi isteri tidak setuju dan kes terpaksa dibicarakan di mahkamah. Namun, suami tidak mahu tunggu perbicaraan yang lama dan bertindak menceraikan isteri di luar mahkamah.

Justeru, katanya, dalam situasi itu, tiada keperluan untuk suami memohon poligami kerana sudah jadi ‘bujang’. Selepas ‘berjaya’ berkahwin, suami tersebut merujuk semula isteri yang diceraikan tadi ketika masih dalam eddah.

Mohd. Na’im berkatam salah satu cara untuk mengawal kes perceraian luar mahkamah dan mengekang kuasa mutlak talak suami ialah melihat semula sama ada peruntukan Seksyen 57 ini perlu dipinda atau dimansuhkan.

Justeru, katanya, semua perceraian hendaklah melalui Seksyen 47 iaitu permohonan kebenaran bercerai daripada mahkamah.

“Maknanya, kita tidak iktiraf talak tersebut walaupun berapa kali dilafazkan diluar. Kawalan ini boleh dibuat pemerintah atas dasar siasah syar’iyah walaupun di luar kebiasaan amalan negara ini. Dari sudut hukum Islam pun menyatakan cerai perlu berlaku dalam keadaan baik.

“Keadaan ini sudah pun diamalkan di beberapa negara di Timur Tengah yang mana undang-undang mereka tidak mengiktiraf lafaz cerai di luar mahkamah, ini sebahagian mekanisme untuk kawal perceraian yang tidak makruf,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN