60 pekebun sawit Melaka rugi RM1.5 juta - Utusan Malaysia

60 pekebun sawit Melaka rugi RM1.5 juta

MOHD. Ghazali Naffis menunjukkan kebun kelapa sawit miliknya ditenggelami banjir di Batu Gajah, Sungai Rambai, Jasin semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASIN: Kira-kira 60 pekebun kecil kelapa sawit di Batu Gajah dan Lanchang dekat sini medakwa mengalami kerugian hampir RM1.5 juta akibat banjir dan ‘air termenung’ dalam tempoh dua tahun lalu hingga sekarang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pekebun, Abdul Majid Md. Jim, 57, berkata, kawasan seluar 40 hektar itu teruk terjejas apabila ia digenangi air termenung, ekoran banjir yang kerap melanda kawasan tersebut.

Menurut beliau, hampir kesemua pekebun kecil di kawasan terbabit tidak dapat mengait buah kelapa sawit kerana air yang tidak surut, walaupun banjir sudah reda.

“Saya ada tiga hektar kebun kelapa sawit tetapi tidak dapat mengeluarkan buah kerana masalah air termenung. Seluruh pekebun di sini menghadapi masalah ini sejak dua tahun lalu hingga sekarang.

“Banjir pada 17 Disember lalu dan semalam (kelmarin), memburukkan keadaan apabila limpahan air Sungai Kesang, Lanchang dan Kuala Semujuk meningkat serta memasuki kawasan kebun.

“Sampai bila nasib pekebun seperti saya serta rakan lain perlu berdepan masalah ini yang tidak dapat diselesaikan,” keluhnya ketika ditemui.

Abdul Majid berkata, beliau mewakili seluruh pekebun merayu kerajaan negeri terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Seorang lagi pekebun, Mohd. Ghazali Naffis, 54, berkata, dia kerugian hampir RM144,000 sepanjang tempoh dua tahun kerana masalah sama.

Katanya, sebelum ini banjir tidak pernah melanda kebun yang diusahakan, namun ia berubah sejak JPS membina sungai buatan berhampiran Sungai Lanchang, awal tahun 2020.

“Apabila banjir berlaku air melimpah memasuki kebun dan bertakung lama, macam mana pekerja saya nak mengait buah kelapa sawit,” katanya.

Bagi Azali Ahmad, 62, yang memiliki kebun dua hektar, turut merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah di situ secepat mungkin.

“Bukan sahaja tidak dapat mengambil buah malah pokok kelapa sawit yang ditenggelami air lebih lima hari akan menjejaskan hasil pengeluaran sawit.

“Aduan sudah dibuat tetapi tidak ada tindakan diambil. Apakah nasib kami seluruh 60 pekebun kecil akan terus hilang punca pendapatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×