PUTRAJAYA: Pembinaan bangunan sekolah baharu di masa hadapan perlu dilaksanakan secara bertingkat lebih tinggi berbanding maksimum tiga atau empat tingkat ketika ini terutama di bandar-bandar besar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti Lembah Klang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, model struktur bangunan itu boleh ditiru sebagaimana di negara-negara maju seperti di Jepun sebagai kaedah mengatasi kekurangan tanah bagi pembinaan sekolah.

Katanya, kepadatan sekolah berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 tahun ini kesan penghijrahan penduduk luar bandar di samping pembinaan kediaman berbentuk pangsapuri yang menyebabkan satu-satu kawasan mengalami kepantasan jumlah penduduk yang ramai.
“Apabila satu kawasan yang tidak besar, tetapi banyak kediaman pangsapuri sehingga 20 tingkat menyebabkan terlalu cepat sekolah di situ menjadi padat, jadi ia tidak selari pembangunan dirancang pihak Kementerian Pendidikan.
“Tempat-tempat yang padat seperti di Kuala Lumpur tanah sudah kurang, kalau dibina sekolah biasa memerlukan tanah yang besar.”
“Jadi tanah kecil boleh bina bangunan tinggi, itu satu kaedah penyelesaian di masa depan,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, antara kaedah lain mengatasi kesesakan murid di sekolah ialah menambah bangunan-bangunan tambahan kerana pembinaan sekolah baharu mengambil masa lama.
Katanya, langkah pembinaan bangunan baharu itu boleh dilaksanakan di bawah projek kilat untuk membina 10 hingga 20 bilik darjah memandangkan kebanyakan sekolah sedia ada mempunyai kawasan lapang untuk diguna pakai bagi tujuan tersebut.
“Setengah tempat pembangunan pesat dengan cepat terutama di Petaling atau Subang Jaya yang mana banyak perumahan baharu dibina, Kementerian Pendidikan tidak dapat mengatasi masalah pertambahan penduduk begitu cepat,” katanya.
Alimuddin berkata, selain itu, kaedah membeli atau menyewa bangunan baharu seperti lot pejabat atau lot kedai yang sedia ada yang diubah suai untuk menempatkan pelajar boleh turut dipertimbangkan, tetapi ia mesti mengikut kesesuaian pembelajaran murid.
Namun katanya, langkah itu perlu bersifat sementara kerana sekolah memerlukan fasiliti bersesuaian untuk pembelajaran seperti mempunyai padang, makmal, perpustakaan dan kantin.
Dalam pada itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang ditemui Utusan Malaysia berkata, masalah kepadatan murid dan kekurangan guru merupakan masalah besar yang telah lama berlaku, sekali gus menjadi fokus Kementerian Pendidikan untuk diselesaikan agar tidak memberikan kesan terhadap soal pembelajaran dan pengajaran.

Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja melibatkan kawasan bandar seperti Lembah Klang dan Putrajaya malah membabitkan pinggir bandar seperti Pasir Gudang dan Bangi.
Beliau menjelaskan, ketika mengetuai Kementerian Pendidikan sekitar 2018, masalah tersebut cuba diselesaikan pihaknya menerusi program jangka pendek dan panjang agar isu kepadatan murid itu dapat ditangani dengan mekanisme tuntas dan cepat.
Katanya, perkara tersebut termasuk cadangan pembinaan kelas tambahan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menampung kepadatan murid.
“Namun keadaan ini adalah pelan jangka pendek sahaja, apatah lagi apabila pembinaan kelas ini memakan ruang sekolah sehingga terpaksa menggunakan padang dan ruang sehingga menghadkan aktiviti pelajar.
“Tetapi jalan paling sesuai adalah membina sekolah baharu, namun ianya memerlukan perancangan jangka panjang sebelum diluluskan waran pembinaan sekolah di peringkat Pusat,” katanya.
Beliau menjelaskan, kerajaan tidak mempunyai masalah tanah untuk membina sekolah memandangkan Kementerian Pendidikan mempunyai kawasan tanah mencukupi terhadap segala perancangan pembinaan sekolah. – UTUSAN










