SPRM berjaya lucut harta RM6 juta milik bekas Exco - Utusan Malaysia

SPRM berjaya lucut harta RM6 juta milik bekas Exco

ABD. Latif Bandi (tengah) ketika ditemui selepas menghadiri prosiding pelucutan hak harta miliknya di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya dalam rayuannya melucut hak harta bernilai lebih RM6 juta milik bekas Exco Kerajaan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi, anak lelaki dan menantunya.

Antara harta tersebut ialah  19 buah kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV. 

Turut dilucut hak adalah 16 jam tangan berjenama mewah, 15 beg tangan mewah, 15 barangan kemas serta pelbagai matawang asing melibatkan matawang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019 yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta yang disita perlu dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan dan bertulis melibatkan pelbagai pihak.

“Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden. Mahkamah ini berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Abd. Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd. Rauf dan Mohd. Fauzan Hatim Abd. Latif.

“Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila menggunakan beban bukti melampaui keraguan yang munasabah semasa menolak permohonan perayu untuk lucut hak harta-harta semua responden. Permohonan di hadapan Hakim perlu diputuskan mengikut beban bukti dalam kes sivil iaitu di atas imbangan kebarangkalian,” katanya. 

Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen menolak permohonan SPRM untuk melucut hak harta milik mereka. Namun, Abu Bakar berkata, mahkamah berpendapat SPRM telah membuktikan semua harta yang terbabit diperolehi daripada hasil haram iaitu rasuah. 

“Mahkamah juga berpuas hati tiada pembelian suci hati dengan balasan berharga berkaitan semua harta terbabit. Oleh itu, mahkamah benarkan rayuan perayu terhadap semua responden dan membenarkan semua permohonan perayu untuk lucut hak semua harta terbabit,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala peguam, Abd. Rahim Ali mewakil Abd. Latif serta Amir Shariffuddin; Mohd. Fauzan dan menantu Abd. Latif, Nur Shaliza Mohd. Salleh.

Peguam kemudian memohon supaya arahan pelucutan hak ditangguhkan bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan tetapi Hakim memerintahkan pihak pembelaan menghantar permohonan penangguhan itu secara rasmi bagi membolehkan satu prosiding lain dilakukan untuk mendengar hujahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya