Semakin sukar Warisan tarik undi KDM - Utusan Malaysia

Semakin sukar Warisan tarik undi KDM

warisan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kehilangan dua pemimpin suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) akan menyukarkan Parti Warisan (Warisan) untuk menarik undi suku kaum itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, sebelum ini parti tersebut memang tidak mendapat sokongan kuat daripada masyarakat KDM.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim keluar meninggalkan parti akan menyukarkan lagi usaha Warisan menarik undi KDM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, sekarang ini terdapat banyak parti berasaskan KDM yang boleh masyarakat KDM sokong.

“Maka, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Warisan perlu bekerja keras untuk menarik lebih ramai pemimpin KDM yang berkaliber bagi memastikan parti itu terus diterima dalam kalangan pengundi KDM,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas tindakan Peter dan Juil keluar daripada Warisan untuk menubuhkan parti baharu yang mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS secara jelas diketuai oleh pemimpin daripada parti nasional iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dianggotai oleh UMNO, Pas, MCA, MIC serta parti berasaskan KDM lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Maju Sabah (SAPP).

Romzi yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan & Khidmat Komuniti) berkata, Warisan juga perlu menilai semula pendekatan politik bagi memastikan sokongan masyarakat KDM terhadap Warisan dapat dipertingkatkan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UiTM Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, kehilangan dua ADUN daripada suku kaum KDM pasti akan memberi kesan terhadap kekuatan Warisan di kawasan majoriti KDM atau bumiputera bukan Islam.

“Situasi yang berlaku sekarang bakal menimbulkan gambaran bahawa Warisan sedang berhadapan dengan konflik dalaman yang menyebabkan berlaku perpecahan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Peter menubuhkan sebuah parti tempatan baharu akan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Sabah untuk memilih pada PRU-15.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada parti baharu yang ditubuhkan itu berasaskan etnik atau berbilang kaum.

“Kita perlu lihat sejauh mana parti ini memberi impak kepada politik Sabah kerana masih terlalu awal untuk menilai. Namun, faktor personaliti, jajaran politik serta komposisi barisan kepimpinan pasti akan mempengaruhi parti berkenaan.

“Sekiranya parti baharu itu berasaskan kaum KDM maka, sudah tentu ia akan memecahkan undi KDM,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×