ARAU: Parti-parti politik perlu berani menampilkan perubahan dengan mengetengahkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon dalam kalangan orang muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus mampu membantu menarik sokongan pengundi atas 18 tahun dalam pilihan raya.
Dalam masa sama, pemimpin dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) juga wajar diberi peluang diketengahkan sebagai calon dalam PRU-15 memandangkan mereka juga sememangnya dilatih ke arah kepemimpinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhamad Asyraf Yaakob, 23, berkata, golongan muda termasuk kira-kira 5.8 juta pengundi 18 tahun dan ke atas yang bakal didaftarkan secara automatik boleh mengundi untuk PRU-15 mampu memberi impak besar terhadap keputusan pilihan raya dan sudah tiba masanya mereka diberikan lebih peluang serta peranan di dalam politik negara.
Katanya, salah satu usaha menarik sokongan golongan tersebut adalah dengan meletakkan lebih ramai calon muda yang dilihat lebih memahami keperluan mereka selain mampu membentuk landskap baharu politik Malaysia yang lebih bersih dan segar.
“Orang muda termasuk MPP sendiri sememangnya dilatih dan bersedia daripada segi kepemimpinan dan di universiti-universiti juga mempunyai kelab-kelab parti politik yang menjadi platform atau batu loncatan kepada para pelajar apabila memasuki arena politik kelak.
“Orang muda sebenarnya sudah lali dengan pemimpin yang sudah terlalu lama dan ada yang terpalit dengan kes-kes rasuah. Kita perlukan wajah baharu tidak kiralah membabitkan mana parti politik sekali pun.
“Orang muda mahu pemimpin yang berkhidmat, disenangi, dekat dengan rakyat selain bersih
dan tidak kiralah sama ada pemimpin muda atau yang berpengalaman,” katanya.
Tambah Muhamad Asyraf, golongan muda selalunya neutral dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik, sebaliknya mereka akan memilih calon atau parti yang difikirkan paling layak memerintah negara.
Katanya, kalau dilihat dalam PRU-14, golongan muda kebanyakkan mengundi PH dan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, mereka beralih pula dengan menyokong Barisan Nasional (BN).
“Golongan muda tidak terlalu berpegang kepada mana-mana parti politik sebaliknya memilih pemimpin atau parti yang dirasakan terbaik yang mampu membela rakyat selain memenuhi keperluan golongan muda,” kata pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan itu.
Sementara itu, Muhamad Asyraf berkata, antara keperluan orang muda yang perlu diberikan perhatian adalah peluang pekerjaan dan meningkatkan gaji minimum.
“Para pelajar selepas tamat belajar sudah pastinya menjadi harapan untuk mendapat pekerjaan, jadi peluang pekerjaan itu perlu dipertingkatkan. Gaji minimum pula sekurangnya RM2,000,” katanya.
Bekas Yang Dipertua MPP Unimap, Syahirunnisa Ramli, 23, pula berkata, ahli-ahli politik baharu yang mempunyai idea lebih segar dalam pembangunan negara perlu lebih banyak diketengahkan di dalam pilihan raya kelak.
Katanya, sebagai contoh, pemimpin-pemimpin seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Nurul Izzah Anwar dan Shahril Sufian Hamdan banyak mengetengahkan idea-idea segar dalam soal ekonomi dan pembangunan negara.
“Selain calon muda, calon wanita juga perlu lebih banyak diketengahkan di dalam pilihan raya. Golongan muda ini, selalunya tidak cenderung kepada mana-mana parti politik sebaliknya lebih melihat potensi individu.
“Peluang pekerjaan, gaji minimum, fokus terhadap pelan atau pengurusan bencana yang lebih berkesan antara yang perlu diberi perhatian pemimpin-pemimpin politik dalam menarik sokongan anak muda,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) itu.
Seorang pelajar sebuah kolej, Amar Syahin Sharil,19, berkata, golongan yang berusia 18 tahun ke atas juga mempunyai kefahaman politik dan sudah bersedia untuk membuat pilihan terbaik dalam pilihan raya.
“Kami melihat kepada pemimpin yang mampu menjalankan tugas dengan baik dan sekarang ini pegangan terhadap parti politik bukanlah terlalu kuat seperti dahulu. Siapa yang bagus dan mampu memberi perkhidmatan terbaik akan dipilih pengundi,” katanya.- UTUSAN











