Hanya GPS tanding 82 kerusi - Utusan Malaysia

Hanya GPS tanding 82 kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi satu-satunya parti yang bertanding di semua 82 kerusi, sekali gus dijangka menang dengan dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak 18 Disember ini.

Parti saingan terdekat, Pakatan Harapan (PH) meletakkan 62 calon, namun masing-masing menggunakan logo sendiri iaitu DAP di 26 kerusi, PKR (28) dan Amanah (8).

Dua lagi parti yang meletakkan calon banyak ialah Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi manakala Parti Bumi Kenyalang, 73 calon. Tiga parti tempatan turut bertanding ialah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (15 calon) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima).

Pas hanya menampilkan seorang calon selain Bebas (30).

Dalam sidang akhbar semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Abdul Ghani Salleh mengumumkan seramai 349 calon akan bersaing sengit menyaksikan pertandingan dua hingga lapan penjuru.

Menurut beliau, calon tertua bertanding adalah Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berusia 79 tahun di DUN Bawang Assan.

Calon termuda, masing-masing berumur 24 tahun mewakili PKR di Batu Lintang iaitu Cherishe Ng Phuay Hui manakala Parti Bumi Kenyalang diwakili Olivia Lim Wen Sia di Nangka.

“Sepanjang proses penamaan calon, hanya dua kertas penamaan ditolak iaitu calon Parti Bumi Kenyalang di DUN Jemoreng dan calon Bebas di DUN Senadin,” katanya di sini.

Dalam pada itu, mengulas persaingan PRN kali ini, penganalisis Prof. Dr. Jayum Jawan Empaling percaya GPS sebagai parti terbesar Sarawak berupaya meraih kemenangan dua pertiga.

“GPS ada pengalaman, ada jentera. Kalau orang lain menang, kucar-kacir Sarawak. Ada yang janji bulan dan bintang, itu tidak akan membawa Sarawak ke mana-mana,” katanya.

Jayum turut menyifatkan PSB berupaya memberikan saingan tetapi tidaklah sehingga mampu membentuk kerajaan.

“Sebahagian besar mereka (pemimpin PSB) adalah daripada GPS. Mereka sudah tidak ada tempat dan cuba menyambung talian hayat karier politik. Paling banyak pun mungkin dalam dua tiga kerusi,” katanya.

Katanya, PH juga belum mampu untuk membentuk kerajaan di Sarawak kerana faktor masalah dalaman parti dan kurang memahami isi hati nadi rakyat negeri itu.

“PKR masih terumbang-ambing, tidak ada fokus di Sarawak dan tak dapat baca nadi Sarawak. Sekejap ambil Larry Sng, sekejap ambil Baru Bian dan tukar, dia tak ada fokus. Pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak dapat baca nadi orang Sarawak, jadi mereka takkan ke mana.

“DAP masih boleh mempertahankan kerusi sedia ada, tetapi dia akan bersaing dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti Cina dalam kerajaan GPS. Dua-dua akan dapat beberapa kerusi dan kedua-dua akan jadi pilihan orang Cina,” katanya.

Justeru, beliau meramalkan GPS akan menang besar dalam PRN kali ini.

“GPS akan mendapat mandat yang jelas, dua pertiga, tak ada masalah, dia boleh sapu bersih,” kata profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia itu.

Jayum bagaimanapun mendakwa, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh SPR telah menyekat demokrasi kerana hanya memberi kelebihan kepada GPS.

“Rakyat Malaysia terutama di negeri Sarawak mesti kecewa akibat sekatan ini. Saya juga melihat, peluang untuk parti lain menang sangat tipis kerana masing-masing bertanding dan melawan antara satu sama lain, tidak fokus seperti GPS,” katanya.

Senada dengan Jayum, Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir yang turut yakin mandat rakyat dua pertiga akan diberikan kepada GPS berdasarkan rekod pentadbiran penyandang tersebut.

“Antaranya inisiatif-inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membangunkan negeri itu dengan peruntukan belanjawan negeri bernilai hampir RM40 bilion.

“GPS juga mempunyai jentera-jentera parti yang kukuh selain penyandang mereka di setiap DUN sudah dikenali,” katanya.

Jeniri berkata, hanya PH dan PSB yang akan memberikan saingan sengit kepada GPS tetapi tidak parti-parti lain.

“DAP dijangka terus mengekalkan kerusi-kerusi sedia ada. PSB pula mungkin menjadi parti pembangkang kedua selepas PH dan akan menang beberapa kerusi di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN