Bekas isteri mohon Badrul Muhayat pulangkan anak-anak - Utusan Malaysia

Bekas isteri mohon Badrul Muhayat pulangkan anak-anak

Julia memohon bekas suaminya, Badrul Muhayat mengembalikan dua anak mereka ke pangkuannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak dapat menyembunyikan kesedihan, Julia Daud, iaitu bekas isteri kepada pelakon, Badrul Muhayat memohon pelakon itu segera mengembalikan dua anak mereka yang masing-masing berusia 11 dan 14 tahun ke pangkuannya.

Julia, 40, berkata, dia tidak mahu isu membabitkan anak-anak diperbesarkan, cukup sekadar mereka pulang ke pangkuannya dengan selamat.

“Hari ini (Isnin) saya dapat menghubungi anak-anak. Itu pun setelah saya memuat naik perkara tersebut di Facebook(FB).

“Mereka memaklumkan kini berada di rumah salah seorang mak cik mereka yang juga merupakan adik ipar kepada Badrul.

“Anak-anak memaklumkan mereka ingin pulang. Jadi saya minta mereka kongsi lokasi untuk saya jemput mereka. Tetapi sehingga kini masih tiada jawapan,” kata Julia.

Beberapa hari lalu, berlaku kekecohan di Facebook apabila Julia mendakwa pelakon yang popular dengan filem Harry Boy itu cuba melarikan anak-anak mereka.

Selain itu, Julia turut mengesyaki pelakon terbabit cuba memecah masuk kediamannya di Hulu Bernam semalam untuk melarikan pakaian dan kelengkapan sekolah anak-anaknya.

Susulan kejadian itu, Julia membuat laporan polis.

“Saya buat laporan tentang cubaan ceroboh di rumah saya selain kehilangan barang seperti telefon bimbit dan baju anak-anak.

“Dalam kenyataan kepada pihak polis saya memberitahu bahawa memang saya mengesyaki semua ini angkara Badrul memandangkan beberapa hari sebelum itu Badrul datang tanpa diundang dan membuat kekecohan di rumah keluarga mentua saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara tersebut. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Badrul dan Julia bercerai pada tahun 2010. Bekas pasangan suami isteri ini dikurniakan seorang anak perempuan berusia 14, Nur Delisha dan seorang anak lelaki, 11 Badrul Hidayat.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN