KLANG: Kerajaan mengumumkan cuti kecemasan sehari hari ini bagi penjawat awam yang terkesan dengan banjir selain memperuntukkan RM100 juta bagi membaiki rumah dan infrastruktur yang rosak akibat bencana yang melanda lapan negeri sejak kelmarin.
Negeri-negeri tersebut ialah Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakb berkata, majikan-majikan dalam sektor swasta juga diseru mengambil inisiatif sama sebagaimana dilakukan kerajaan dengan memberikan cuti kecemasan kepada pekerja yang terkesan.
“Esok Isnin bermula hari kerja, jadi mereka perlu bekerja walaupun terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Kita faham kesusahan mereka, maka kerajaan setuju memberi cuti kecemasan akibat bencana ini
“Bagi majikan swasta, kalau mereka setuju beri cuti, dua perkara kita syaratkan iaitu tidak boleh ditolak daripada cuti tahunan dan tidak boleh dipotong gaji…kalau cutinya lima hari, tak boleh potong gaji, ia cuti berbayar,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini semalam.
Terdahulu Perdana Menteri meluang masa melawat dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, Klang dan SK Telok Gong, Pelabuhan Klang.
Menurut beliau, bagi meringan beban mangsa banjir, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua keluarga secepat mungkin.
Selain itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga akan mempercepatkan bantuan wang ihsan iaitu RM1,000 seperti diumumkan pada September lalu bagi setiap isi rumah terutama kepada penerima di kawasan terlibat banjir.
Kata beliau, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) turut bersetuju untuk menyalurkan sumbangan secara geran padanan bersama-sama dengan pihak kerajaan.
Menurut beliau, pada peringkat awal, GLC dan GLIC masing-masing bersetuju untuk menyediakan peruntukan RM20 juta
“Maknanya kalau RM20 juta (masing-masing dari kerajaan dan GLIC/GLC, (keseluruhannya) RM40 juta, kita ada ‘back to back’ geran padanan dari kerajaan dan GLC. Ini adalah antara bantuan yang diberikan secara segera bagi membantu mengurangkan bebanan mangsa-mangsa banjir,” kata beliau.
Seterusnya, Ismail Sabri memaklumkan, di Selangor sahaja, seramai 15,000 mangsa banjir dipindahkan ke 103 PPS berbanding semalam membabitkan 6,000 mangsa.
Beliau berkata, situasi banjir di Selangor berlaku secara mengejut dan luar jangka apabila berdasarkan laporan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) taburan hujan yang melepasi 30 milimeter (mm) dalam masa sehari di negeri itu adalah taburan biasa hujan bagi tempoh sebulan.
“Jadi, sebab itulah berlaku kekalutan sebab tiada persediaan untuk berpindah rumah dan sebagainya. Tak sangka air naik cepat, itu yang terpaksa duduk di rumah untuk menunggu bantuan dipindahkan,” kata beliau.
Sementara itu, walaupun semalam cuaca di beberapa negeri kembali cerah dan tidak hujan, situasi banjir bertambah teruk apabila mangsa banjir dilaporkan meningkat kepada 30,350 orang daripada 9,496 keluarga di lapan negeri berbanding kelmarin hanya 6,426 mangsa.
Menurut Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat pukul 5 petang, Pahang mencatatkan negeri tertinggi mangsa banjir dengan 14,143 orang diikuti Selangor (9,904), Kelantan (4,246), Melaka (599), Kuala Lumpur (526), Negeri Sembilan (459) dan Terengganu (286) serta Perak (87) dengan keseluruhan 340 PPS telah dibuka.
Keadaan itu dijangka bertambah apabila dipercayai lebih ramai mangsa khususnya terdiri daripada warga emas, wanita dan kanak-kanak masih terperangkap di rumah dan jalan raya serta masih menunggu bantuan pihak berkuasa untuk membawa mereka ke PPS.
Banjir mengejut negeri-negeri itu berlaku kesan Lekukan Tropika yang membadai selatan Filipina sebelum fenomena itu kemudian mengukuhkan angin timur laut bertiup ke kawasan semenanjung dengan membawa lembapan tinggi di kawasan pantai timur dan merentasi hampir semua bahagian semenanjung. – UTUSAN










