Tiga penjuru di Melaka - Utusan Malaysia

Tiga penjuru di Melaka

PETUGAS Akademi Pilihan Raya (APR) menunjukkan demonstrasi dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi semasa PRN Melaka di Hotel Metrasquare, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan gabungan parti-parti politik utama selepas Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengesahkan meletakkan calon masing-masing untuk bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama, sekurang-kurangnya lima kerusi berlaku pertembungan empat penjuru selepas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang baru ditubuhkan menamakan lima calon di DUN Pengkalan Batu, Gadek, Duyong, Sungai Rambai dan Paya Rumput.

BN memutuskan bertanding di semua 28 kerusi DUN melibatkan tiga komponennya iaitu 20 daripada UMNO, tujuh (MCA) dan satu (MIC) manakala rakan kerjasama di peringkat persekutuan
iaitu PN juga bertanding dengan jumlah sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, blok pembangkang PH yang kini dalam misi merampas semula kerajaan negeri bertanding di 28 DUN dengan pecahan iaitu PKR di 11 kerusi DUN, DAP (lapan kerusi) dan Parti Amanah Negara atau Amanah (sembilan kerusi).

Setakat ini, hanya calon-calon Bebas belum mengesahkan penyertaan dalam PRN ini meskipun timbul ura-ura mereka akan menghantar borang pencalonan dalam tempoh berbaki dua hari pada hari penamaan calon, esok.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pe ngarah Pilihan Rayanya berkata, parti itu menampilkan 28 calon sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama rakan di peringkat Kerajaan Persekutuan seperti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu pendekatan baharu pihaknya bagi memastikan kepercayaan rakyat dapat dikembalikan.

“Sebanyak 86 peratus daripada 28 kerusi DUN adalah muka baharu dan mengekalkan empat muka lama. Kita membuat keputusan bertanding solo. BN berharap pengundi berfikirlah untuk mengundi parti yang boleh membawa kestabilan kepada Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon-calon yang bertanding pada PRN Melaka di ibu negara,
semalam.

Sementara tu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, pecahan 28 kerusi ditandingi PN melibatkan Bersatu di 15 kerusi, lapan dari Pas dan Gerakan pula lima kerusi.

Paling mencuri perhatian, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara sekali gus bakal bertembung dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berpindah kerusi DUN dari Paya Rumput ke Telok Mas manakala Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik bertanding di
kerusi DUN Duyong.

Menurut Muhyiddin, 43 peratus calon PN berusia 40 tahun ke bawah sekali gus mencerminkan,parti itu untuk mengangkat suara anak muda khususnya di dalam golongan profesional dan
pendidikan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengumumkan, dua bekas wakil rakyat UMNO iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan diterima sebagai calon PH dalam
PKR dengan Idris bertanding di kerusi Asahan manakala Nor Azman di Pantai Kundor.

Katanya, meskipun mereka menggunakan tiket PH, Idris menggunakan kuota PKR manakala Nor Azman di Pantai Kundor menggunakan kuota Amanah dengan mereka diterima sebagai ahli kedua-dua parti itu.

Dalam pada itu, beliau tidak mengumumkan calon kerusi Ketua Menteri mewakili PH, sebaliknya memaklumkan Pengerusi Amanah Negeri, Adly Zahari mengetuai jentera Pilihan Raya PH bagi PRN Melaka.

PRN Melaka diadakan pada 20 November ini ekoran pembubaranDUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinanKetua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×