Silap cakap boleh hilang undi - Utusan Malaysia

Silap cakap boleh hilang undi

pru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

MASUK pusingan kedua telah menarik ramai pemimpin parti politik turun padang bertemu rakyat. Daripada pemimpin besar sehinggalah sekecil-kecilnya, semuanya sudah masuk gear lima untuk memenangi hati pengundi.

Pusingan akhir ini sangat penting dalam mengetahui momentum jentera parti. Selepas seminggu berkempen, banyak yang telah membuat ramalan masing-masing.

Namun, seperti dijangka, semuanya berpihak kepada parti sendiri walaupun bilik perang macam pasar tani, sibuk menganalisis data setiap kerusi.

Masih banyak isu yang belum selesai, tertangguh  yang perlukan kebijaksanaan mengatasinya, kalau tidak segala gerak kerja akan menjadi sia-sia.

Dia peringkat akar umbi, lain. Pengundi masih memerhati gelagat orang politik, terutama apa yang diperkatakan di hadapan media atau dalam akaun sosial masing-masing.

Kempen secara sihat ada kalanya diselang seli dengan serangan yang menyentuh peribadi dan parti.

Sebersih mana sekalipun imej calon atau pemimpin parti itu, rakyat tetap memerhati tutur kata mereka apabila menyentuh pelbagai isu. 

Silap cakap boleh jadi kalah besar. Kadang-kala pemimpin parti tidak sedar akan perkara ini. Hatta yang kelihatan alim pun ‘terbabas’ inikan pula yang lain.

Seperti pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap buruk padahnya’, akhirnya siapa yang akan rugi. Mereka lupa, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan isu tentang infrastruktur dan rakyat semata-mata, tetapi integriti dan sasiah diri pemimpin dan calon jadi ukuran.

Perbuatan suka memburukkan parti dan tuduhan liar peribadi individu hanya mengundang beban buat calon dan parti masing-masing. 

Kebanjiran pemimpin parti berkampung di Melaka untuk tujuan menarik sokongan tetapi akhirnya lain jadinya apabila kenyataan yang dibuat menimbulkan kebencian.

Parti-parti yang bertanding sedia maklum, saingan untuk menang kerusi di negeri ini bukan mudah. Malah untuk mencari kemenangan mudah 15 kerusi pun sukar dijangka. 

Walaupun atas kertas didakwa baik, namun akar umbi yang akhirnya menentukan siapa yang layak menduduki 28 kerusi yang akan membawa suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Daripada  tinjauan yang dibuat, kebanyakan pengundi bukan sahaja menilai integriti calon tetapi juga pemimpin parti sendiri. Tindak-tanduk mereka jadi ukuran. 

Sehingga kini orang-orang politik di akar umbi masih risau terhadap kedudukan 10 kerusi panas yang menyaksikan setiap parti terikat dengan peluang sama rata. Mereka mengakuinya.

Kawasan-kawasan tersebut memang telah dijangka sengit dengan setiap calon termasuk daripada parti-parti utama hanya mempunyai peluang menang 50-50.

DUN Asahan, Rembia, Durian Tunggal, Bemban, Gadek, Machap Jaya, Pengkalan Batu, Tanjung Bidara, Duyong dan Paya Rumput melibatkan banyak nama besar seperti Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Raof Yusoh (Tanjung Bidara); bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (Asahan); Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek (Duyong) dan Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew (Bemban).

Kerusi-kerusi ini dikatakan menjadi penentu kepada kemenangan mudah untuk membentuk kerajaan negeri. Jangan kerana satu ayat sahaja, kerusi entah ke mana, deposit turut lebur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.