Sekolah Lembah Klang, Melaka bermula hari ini - Utusan Malaysia

Sekolah Lembah Klang, Melaka bermula hari ini

Kementerian Kesihatan tiada bukti kanak-kanak bawah 12 tahun memerlukan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Murid-murid tahap 1 melibatkan Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah-sekolah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka memulakan sesi persekolahan bersemuka hari ini selepas lebih lima bulan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pengoperasian sekolah itu selepas dua minggu negeri-negeri berkenaan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang turut melibatkan kemasukan murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini memaklumkan, kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri-negeri tersebut akan bermula pada 8 November ini iaitu seminggu selepas kumpulan pertama itu.

Bagaimanapun, bermula 18 Oktober lalu, kumpulan murid lebih awal hadir ke sekolah negeri-negeri tersebut iaitu melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas, sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas, sekolah menengah pendidikan khas vokasional dan program pendidikan khas integrasi, Tingkatan 6 semester 2 dan prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia.

Ini termasuk kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa lain.

KPM turut menetapkan, institusi pendidikan yang sudah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih di semua negeri bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November ini.

Dalam pada itu, bagi negeri Terengganu dan Johor yang baru memasuki Fasa 4 pada 25 Oktober lalu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut fasa itu hanya akan bermula pada 7 November ini dengan dimulakan dengan murid Tahap 1 sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.

Bagaimanapun, berikutan 7 November adalah cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali, maka sekolah hanya akan memulakan operasinya pada 8 November.

Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi kedua-dua negeri itu pula akan bermula pada 14 November.

Langkah ini dibuat kerana KPM telah menetapkan, jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya