RM530 bilion bantu pulih ekonomi – PM - Utusan Malaysia

RM530 bilion bantu pulih ekonomi – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menyediakan lapan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion sebagai langkah membantu mengurangkan kesan pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara termasuk sektor swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia maklum sektor swasta me­ru­pakan penyumbang uta­ma dalam pembangunan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, susulan kemudahan, bantuan dan pendekatan yang proaktif melalui pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi mendorong Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2022 meningkat 5.8 pera­tus berbanding unjuran asal 4.2 peratus.

“Keberkesanan dan impak Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyumbang usaha kerajaan mempertingkatkan imunisasi pekerja industri seterusnya mengurangkan risiko kluster tempat kerja.

“Telah banyak perkara dipelajari pihak industri terutama dalam aspek pengurusan serta model perniagaan yang berjaya berdepan dengan pelbagai cabaran ketika penularan Covid-19.

“Sehubungan itu saya dan barisan Kabinet komited dalam menjayakan kelestarian agenda pemulihan ekonomi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan sempena Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkukuhkan pendekatan ber­teraskan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam aspek ekonomi sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau.

Menurut beliau sekiranya negara berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian ESG yang ditetapkan.

“Malaysia akan ketinggalan sekiranya mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini.

“Oleh itu, marilah kita semua bersama-sama untuk maju ke hadapan sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam usaha merancakkan ekonomi supaya negara kita Malaysia bangkit dengan lebih gemilang lagi,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri berkata, bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan pilihan, MITI sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasio­nal baharu untuk menarik pelaburan yang strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi tinggi.

“Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi di antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN