PETALING JAYA: Rakyat negara ini perlu bersedia berdepan dengan kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga.
Semua barangan keperluan asas dijangka menghadapi kenaikan, terutamanya makanan kerana sehingga kini negara masih bergantung kepada aktiviti import untuk menampung keperluan domestik.
Ditambah nilai ringgit yang menyusut pada kadar RM4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat, peniaga tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga barang untuk menampung kos.
Kenaikan harga barang yang ‘tidak masuk akal’ juga dipercayai didorong tindakan peniaga yang mahu menutup kerugian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu apabila beberapa sektor tidak dibenarkan beroperasi ekoran penularan Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan tersebut tidak sepadan dengan kadar gaji minimum terutamanya dalam kalangan kumpulan B40 yang akan merasai bebanan itu.
Menurut beliau, sedangkan untuk menikmati kehidupan sederhana pada tahun depan, kadar gaji minimum diperlukan ialah RM2,700 sebulan berbanding RM1,200 pada masa sekarang.
“Kerajaan perlu menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengawal kenaikan harga barang keperluan asas supaya masyarakat tidak menghadapi kesukaran untuk meneruskan hidup pada tahun hadapan.
“Semua barangan keperluan akan menghadapi kenaikan harga atas beberapa faktor, terutama barangan makanan kerana negara kita bukan negara yang mengeluarkan makanan tetapi membeli dari negara luar.
“Seperti daging, kita membeli dari Australia menggunakan nilai dolar, seperti mana kita tahu ringgit Malaysia sudah jatuh. Jadi untuk mengimport makanan memerlukan kos yang tinggi secara langsung menjadi faktor kenaikan harga barangan tersebut,” katanya di sini semalam.
Selain harga alat ganti kenderaan dijangka meningkat 60 peratus, rakyat negara ini telahpun terbeban dengan kenaikan beberapa barang lain seperti keperluan harian seperti ayam, bahan binaan, baja, racun tanaman serta dedak ternakan sebelum ini.
Jacob berkata, Cassa menyarankan agar Kerajaan Pusat menubuhkan badan yang bertanggung jawab menyelesaikan masalah kenaikan harga.
Beliau berkata, spekulasi harga dalam kalangan peniaga yang cuba untuk menutup kerugian selepas melalui tempoh pandemik juga tidak boleh dinafikan.
“Masalah kenaikan harga barang ini dihadapi oleh pelbagai negara, bukan kita sahaja tetapi mereka semua tubuhkan sebuah perbadanan untuk urus selia isu ini, mengapa kita masih menggunakan cara yang lama? Sudah jelas tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, terdapat pembekal yang tidak bertanggungjawab cuba untuk menyimpan bekalan barangan keperluan semasa permintaan tinggi supaya harga barangan dapat ‘meroket’ naik dan memperoleh keuntungan lebih.
“Perkara itu tidak sepatutnya dilakukan, biarlah kita bekerjasama bukan berlawan (pembeli dan pembekal) supaya krisis ini kita dapat atasi,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi menyokong tindakan pengguna menularkan harga barang yang tidak munasabah.
“Bila tular baru peniaga-peniaga sedar bahawa pengguna zaman kini semakin sedar akan kuasa yang mereka pegang, jadi mereka tidak berani untuk meletakkan harga tinggi melampau. Namun, biarlah dengan bukti yang kukuh supaya ia tidak jatuh fitnah,” katanya.
Jelasnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai kuasa yang terhad jadi pengguna perlu menyalurkan maklumat supaya mereka boleh melakukan siasatan.
“Kami hanya mampu memberi maklumat melalui laman-laman media sosial sedia ada, jadi saya harap pengguna boleh sentiasa menyalurkan maklumat supaya persatuan boleh buat semakan sebelum mendesak peniaga,” katanya. – UTUSAN










