CYBERJAYA: Kemajuan kerja keseluruhan pembinaan Pangsapuri Aspire Residence Fasa 1, dekat sini membabitkan tiga blok kini mencapai tahap 65 peratus dan bakinya dijangka siap pada suku pertama 2023.
Jurucakap pemaju pangsapuri berkenaan iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) berkata, pihaknya memohon maaf atas kelewatan menyiapkan projek tersebut dan menyebabkan kesulitan kepada pembeli-pembeli rumah.
Katanya, usaha sedang giat dilakukan bagi menyiapkan baki 35 peratus kerja-kerja pembinaan di tapak sehingga Siji Pematuhan dan Kesiapan (CCC) diperoleh yang dijangk pada tempoh itu bagi Fasa 1 (blok 1, 2 dan blok 3).
“Kami sangat memahami keluhan pembeli-pembeli memandangkan projek ini pada awalnya dijadualkan siap dan penyerahan milikan kosong dianggarkan pada Ogos 2020,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Akhbar ini melaporkan, seramai pemilik 1,168 unit pangsapuri berkenaan yang dibina sejak Ogos 2016 terpaksa menanggung bebanan kewangan apabila kediaman yang dijanjikan siap tahun lalu belum dapat diduduki.
Kelewatan hampir dua tahun itu menyebabkan pembeli terpaksa membuat bayaran ke atas pinjaman perumahan dari institusi kewangan nyata memberikan kesan ketara terutama melalui fasa pandemik Covid-19.
Masalah kelewatan itu dikatakan ekoran cabaran semasa akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan terhadap kemajuan kerja kerana sektor pembinaan tidak dapat beroperasi.
Tambahnya, SPNB komited menyiap dan menyerahkan milikan kosong dan mematuhi terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Perjanjian Jual Beli.
“Lanjutan itu, SPNB mendapat pengecualian tempoh PKP bagi pemajuan ini yang terjejas kerana penularan pandemik Covid- 19.
“SPNB dari semasa ke semasa akan berhubung dengan para pembeli Aspire Residence bagi memaklumkan status terkini projek menerusi laman web, media sosial, emel dan telefon melalui pusat panggilan SPNB,” katanya. – UTUSAN ONLINE