LONDON: Seorang pakar bedah di United Kingdom (UK) menceritakan detik tragis kematian anak saudaranya, Mohammad, 16, yang disifatkan sebagai pembunuhan disengajakan di lokasi agihan bantuan makanan di utara Gaza.
Mohammad terpisah daripada dua bapa saudaranya ketika cuba mendapatkan makanan di kawasan pengagihan di Jabaliya.
Keluarganya menghabiskan empat hari mencarinya dengan berharap remaja itu mungkin telah ditahan oleh tentera Israel kerana tiada tanda-tanda jasadnya dalam kalangan mangsa yang terbunuh ketika tentera melepaskan tembakan.
Namun, harapan itu musnah apabila mayat Mohammad ditemui dalam keadaan hancur dan hanya dapat dikenal pasti melalui kasut kerja milik bapanya, seorang juruelektrik.
Mo, pakar bedah yang kini berkhidmat sebagai perunding NHS di UK dan berasal dari Jabaliya menerima berita itu dari Britain.
Dalam wawancara bersama The Guardian, beliau berkata, cara kematian anak saudaranya ini seperti satu perangkap yang disengajakan.
“Orang ramai terlalu terdesak, sanggup mengambil risiko nyawa hanya untuk mendapatkan makanan tapi akhirnya mereka terbunuh. Ini hanyalah satu kisah kecil daripada ribuan kisah lain. Seolah-olah pemusnahan besar-besaran sedang berlaku,” katanya.
Sebelum gencatan senjata selama dua bulan yang dilanggar oleh Israel pada Mac, seorang lagi anak saudara Mo yang juga berusia 16 tahun telah terbunuh.
Awal bulan ini pula, sepupunya, Atif, 52, dan bapa kepada sembilan anak terbunuh akibat serangan dron semasa mengambil air untuk keluarganya.
Mo turut berkata pengeboman di kawasan itu masih berterusan siang dan malam. Keluarganya kini dalam keadaan trauma dan kelaparan dan ada antara ahli keluarga yang cedera dan terbunuh dalam serangan sebelum ini.
Ibunya yang sudah lama terperangkap di Gaza baru-baru ini berkata, lebih baik mereka dibunuh dengan bom nuklear, lebih cepat dan lebih berperikemanusiaan.
“Kita tak boleh tunggu sehingga semua orang di Gaza mati. Masih belum terlambat. Sesuatu mesti dilakukan dan hanya tindakan boleh hentikan Israel,” katanya. – AGENSI









