PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melabur sebanyak RM406 juta dalam perbelanjaan modal (capex) pada tahun kewangan 2024, meningkat 66 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pelaburan ini merangkumi penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan digital serta pelancaran hospital ke-30 iaitu Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor.
Keseluruhan inisiatif ini selaras dengan strategi jangka panjang KPJ untuk membina sistem penjagaan kesihatan bersepadu yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, selain mencatat prestasi kewangan yang kukuh pada 2024, kumpulan terus melaksanakan usaha penambahbaikan strategik menerusi KPJ Health System, sebuah rangka kerja yang menyepadukan penjagaan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan.
“Strategi ini memperkukuh komitmen kami untuk meningkatkan hasil kesihatan serta memberi nilai jangka panjang.
“Seiring dengan pelaksanaan agenda transformasinya, KPJ Healthcare kekal fokus kepada usaha memperkukuh keupayaan bagi menyokong keperluan masa hadapan, khususnya dalam bidang pendigitalan, pembangunan bakat dan model penjagaan bersepadu,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-32 kumpulan semalam, membentangkan pelaksanaan berterusan strategi transformasi di bawah KPJ Health System,serta melaporkan prestasi kewangan kukuh bagi tahun kewangan 2024 dan permulaan tahun 2025 yang stabil.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kumpulan terus melaksanakan strategi jangka panjang bagi menyokong pertumbuhan mampan.
“Kami sedang membina keupayaan masa depan dengan memperluas kumpulan pakar, mempertingkatkan keupayaan penyelidikan serta memperkenalkan penyelesaian digital cara menyeluruh di seluruh organisasi.
“Usaha ini penting untuk meningkatkan hasil rawatan serta memperkukuh kedudukan KPJ sebagai penyedia penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka di rantau ini,” tambahnya.
Sepanjang tahun 2024, KPJ terus memperkukuh ekosistem digitalnya melalui penerapan teknologi pintar, diagnostik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penambahbaikan aplikasi mudah alih KPJ Cares.
Kumpulan juga terus komited menyokong agenda kelestarian, merangkumi inisiatif alam sekitar dan kesihatan komuniti di bawah rangkaian Klinik Waqaf An-Nur, selaras dengan aspirasi KPJ untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.
Melangkah ke hadapan, KPJ akan terus memajukan pembangunan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) memperkukuh integrasi antara teras klinikal, penyelidikan dan pendidikan, serta mengoptimumkan operasi hospital di bawah KPJ Health System.
Mengekalkan momentum tersebut, KPJ turut menjadi tuan rumah bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi penganjuran Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 November 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.-UTUSAN










