KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr. Nooh Gadut diumumkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah pula diumumkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah itu berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat ke majlis itu.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pemilihan kedua-dua tokoh itu berdasarkan sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dari dalam dan luar negara.
Kedua-dua tokoh itu juga memiliki pengetahuan dan pengalaman luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.
Tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini ialah Membangun Ummah Madani. – UTUSAN










