PETALING JAYA: Kempen secara maya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sesuai dilaksanakan disebabkan faktor capaian internet yang lemah di sesetengah kawasan.
Selain itu, masalah pengundi warga tua yang tidak mesra teknologi digital turut menjadi persoalan berbanding orang muda yang lebih mudah mengakses ke akaun sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, pengundi warga tua masih memerlukan kaedah bersemuka untuk mengenali calon dan parti yang bertanding.
Katanya, terdapat empat kelompok pengundi di Melaka iaitu berusia 50 tahun ke atas, pengundi muda bawah 40 tahun, pengundi bandar dan luar bandar dan masing-masing mempunyai keseimbangan yang berbeza antara satu sama lain.
“Berbanding Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dilihat mempunyai kelebihan kempen secara maya kerana mempunyai pengundi dalam kalangan generasi muda dan bandar,” katanya.
Kementerian Kesihatan sebelum ini menetapkan aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November ini.
Bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, kredibiliti calon mematuhi SOP pilihan raya menjadi ukuran kewibawaan mereka pada mata pengundi berbanding sanggup turun pandang berkempen dan melanggar undang-undang sehingga boleh menjejaskan imej mereka.
“Hakikatnya kempen digital dapat membuang budaya propaganda politik apabila kempen hanya membabitkan interaksi antara calon dan kamera berbanding bersemuka yang boleh mencetuskan lakonan melampau-lampau untuk menarik hati pengundi.
“Sebenarnya mengenal pasti calon dilihat cukup memadai dalam kempen pilihan raya iaitu sekitar 80 peratus manakala selebihnya pula propaganda berlebihan,” katanya.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum, Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim berkata, sekiranya menyasarkan golongan pengundi muda atau mereka yang tinggal di kawasan bandar, kaedah digital akan membantu kempen parti politik.
Katanya, faktor personal touch daripada calon-calon yang bertanding masih menjadi kekuatan untuk mereka berkempen secara tradisional bagi mendekati pemilih terutama pengundi yang lebih berusia atau tidak terdedah dengan teknologi sedia ada.
“Tetapi, tidak semua golongan sasaran atau kawasan kempen sesuai dengan kaedah baharu ini yang kita faham terpaksa dilakukan memandangkan negara masih lagi berada dalam fasa pandemik sebelum beralih kepada endemik.
“Salah satu kekangan kita boleh lihat dari segi liputan internet di Malaysia yang bukan semua kawasan dapat capai tahap hingga 5G seperti di negara lain, ada penstriman secara langsung tidak boleh ditonton kerana gangguan liputan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu Malaysia, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, sebaiknya kempen pilihan raya perlu diadakan menggunakan dua kaedah iaitu media digital dan kempen fizikal atau bersemuka dengan kawalan SOP yang ketat.
Walaupun liputan internet di Melaka lebih baik berbanding Sabah namun, tidak sesuai dan kurang berkesan untuk menjalankan kempen secara digital semata-mata tanpa ada kempen fizikal.
“Kita tahu pengundi tua ini ramai dan mereka bergantung dengan apa yang mereka nampak di depan mata. Orang tua lebih bersifat realistik maka, kempen menggunakan media sosial tidak akan berkesan bagi golongan ini.
Berbeza dengan pengundi muda, jika Undi 18 dimasukkan, golongan ini lebih mudah terpengaruh dengan media sosial. Jadi, cara yang lebih baik adalah menjalankan kempen dengan dua kaedah berbeza dan tidak fokus kepada satu cara sahaja,” katanya. – UTUSAN










