PRN Melaka dijangka ikut SOP PRK Chini, Slim - Utusan Malaysia

PRN Melaka dijangka ikut SOP PRK Chini, Slim

Bendera parti mula berkibaran di Bandar Melaka menjelang penamaan calon pada 8 November ini. - UTUSAN/MUHAMMAD RASUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Proses penamaan calon dan pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kemungkinan besar mengambil contoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim yang kedua-duanya diadakan ketika wabak Co­vid-19 sedang merebak tahun lalu.

Ini termasuk dari segi prosedur operasi standard (SOP) ke­rana kedua-dua PRK tersebut diadakan dengan pematuhan norma baharu.

Menurut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat ini SOP terbaharu belum dimuktamadkan, namun dijangka tidak begitu banyak berbeza daripada PRK di Pahang dan Perak.

“Kami jangka paling lewat SOP PRK Melaka akan diumum sehari sebelum tarikh penamaan calon Isnin depan,” kata sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Difahamkan, kelewatan pe­ngumuman SOP susulan bantahan pelbagai parti politik me­ngenai arahan terkini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Mereka mendakwa peraturan baharu ditetapkan Khairy pelik dan tidak logik, padahal kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa telah hampir 100 peratus.

Susulan itu, kenyataan SOP daripada Khairy turut menjadi bahan jenaka warganet kerana aktiviti sosial seperti kenduri kahwin dan seminar dibenarkan tetapi ceramah politik de­ngan jarak fizikal dilarang.

Kata sumber itu lagi, lebih mencetuskan kemarahan apabila tindakan pemimpin parti tertentu bebas menganjurkan acara politik tanpa pemantauan penguat kuasa Kementerian Kesihatan.

Sedangkan satu pihak lagi dikawal ketat seolah-olah mahu tunggu masa untuk cari kesalahan.
PRK Chini dan PRK Slim diadakan masing-masing pada 4 Julai dan 29 Ogos tahun lepas ekoran kematian penyandang kerusi DUN berkenaan.

Ia menyaksikan buat julung kali, tiada perarakan parti ketika hari penamaan calon apabila hanya calon diiringi penyokong dan pencadang ke pusat penamaan.

Ceramah dibolehkan de­ngan kapasiti tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa di premis tertutup selain penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu dan direkodkan kehadiran.

Aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi cuma tiga orang petugas parti dalam satu masa tanpa bersentuhan atau bersalaman namun digalakkan berkempen secara atas talian.

Tiada bilik gerakan kecil atau tempat berkumpul bagi calon atau jentera parti tetapi mereka dibenarkan membuka bilik jawatankuasa gerakan utama dengan pematuhan SOP.

Pada hari mengundi, semua pemilih berdaftar wajib memakai pelitup muka, saringan suhu badan dan menggunakan bahan cecair basmi kuman di tiga stesen dalam pusat pe­ngundian.

Pengundi bergejala atau mencatatkan suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasing untuk pemantauan pegawai kesihatan namun boleh me­ngundi di khemah khas yang disediakan.

“Semua SOP ini selaras de­ngan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan petugas dan pengundi,” kata sumber itu.

Seramai 482,550 pemilih akan mengundi pada PRN Me­laka 20 November ini manakala 12,646 anggota polis, tentera dan pasangan bakal mengundi awal pada 16 November.

Melaka muncul negeri ke­dua selepas Sabah mengadakan PRN ketika pandemik dan jika berjaya, ia boleh menjadi model untuk PRN Sarawak dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beberapa negara turut berjaya menganjurkan PRU semasa wabak itu dengan SOP ketat antaranya Singapura, Korea Selatan, Serbia, Malawi, Poland dan terkini semalam, Jepun.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Muhammad Danish Zainudin berkata, kerajaan perlu segera mengumumkan SOP lebih jelas berhubung PRN Melaka bagi mengelak pelanggaran SOP terutama menjelang hari mengundi.

Menurut beliau, SOP yang jelas dan tidak ‘memeningkan’ penting kerana ia akan mempengaruhi peratusan orang ramai keluar mengundi.

“Setakat ini SOP diumumkan kerajaan agak kabur dan kurang jelas. Contoh, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu antara kawasan padat penduduk.
“Jadi kami harap SOP lebih jelas bagi mengelak penularan kes atau kewujudan kluster baharu,” kata beliau semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×