MELAKA: Pakatan Harapan (PH) hari ini mengemukakan enam tuntutan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antaranya permohonan maaf secara terbuka, yang merujuk insiden ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) parti itu tidak dibenarkan memasuki kawasan mengundi awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin berkata, kesemua tuntutan itu penting bagi memastikan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengikut lunas peruntukan perundangan pilihan raya, sempurna dan menghayati konsep demokrasi.
Katanya, permohonan maaf pegawai pengurus yang dibuat secara tertutup sebelum ini tidak memadai.
“Saya amat terkejut dengan tindakan Ketua tempat Mengundi (KTM) yang mewakili SPR tidak membenarkan PACA memasuki kawasan mengundi dan memulakan tugas mereka ketika pengundian awal di Balai Polis Tanah Merah, atas alasan borang petugas terbabit tidak ditandatangani calon sendiri tetapi ejen pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Manivanan, mengikut peruntukan Akta 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, borang PACA boleh ditandatangani oleh calon atau ejen pilihan raya yang juga dikenali sebagai wakil calon.
Katanya, antara lain kandungan tuntutan tersebut juga meminta Pengarah SPR mengarahkan agar KTM yang melakukan kekhilafan tersebut untuk tidak bertugas pada 20 November ini dan digantikan dengan seorang KTM yang mempunyai pengetahuan mengenai perjalanan pilihan raya dan memastikan semua petugas menghormati hak calon dan parti yang bertanding.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menimbang untuk membawa perkara tersebut bagi tindakan lanjut sekiranya tuntutan tersebut diabaikan. – UTUSAN