SELASA lalu, kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia termasuk 31 petugas tiba di Madinah, Arab Saudi. Alhamdulillah. Didoakan semua bakal haji negara berada dalam sihat walafiat agar mudah melaksanakan segala rukun dan wajib haji.
Beruntunglah mereka yang terpilih sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah). Pada saat lebih 3.8 juta masih menunggu giliran untuk kuota haji, 31,600 rakyat Malaysia dipilih menunaikannya tahun ini.
Ibadat haji bukan semata-mata mahu memastikan cukup rukun dan wajib, sebaliknya mahu lebih daripada itu. Dengan penghayatan untuk merasakan ukhuwah dalam diri, semangat saudara sesama Islam dan mengambil seberapa banyak fadhilat yang Allah sediakan kepada jemaah haji di tanah suci ini.
Bagi jemaah haji yang bertolak awal, mereka akan berada di Madinah sekitar 10 atau 12 hari. Untuk itu, pastikan kesempatan digunakan sepenuhnya untuk membanyakkan ibadat termasuk menziarahi makam Rasulullah SAW.
Kita tidak dituntut menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi dan juga Masjid al-Aqsa. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjidilharam, Masjid Rasulullah SAW dan juga Masjid al-Aqsa. (Riwayat Bukhari)
Nabi Muhammad SAW juga bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”. (Riwayat Muslim)
Untuk itu, usai solat di Raudhah, pergilah ke makam Nabi SAW yang mulia. Berdirilah di situ dengan membelakangi kiblat dan menghadap dinding makam kira-kira empat hasta jaraknya daripada bahagian kepala.
Sambil tunduk menghadap dinding makam, kosongkanlah fikiran daripada hal-hal keduniaan, seolah-olah berhadapan dengan baginda dengan segala kemuliaan dan kedudukannya yang tinggi dan ucapkanlah salam dengan perlahan seperti berikut:
“Sejahtera atasmu wahai Rasulullah. Sejahtera atasmu wahai Nabi Allah. Sejahtera atasmu wahai insan pilihan Allah. Sejahtera atasmu wahai insan pilihan Tuhan seluruh alam. Semoga Allah memberi balasan kepadamu bagi pihak kami wahai Rasulullah, sebaik-baik balasan yang Allah berikan kepada Nabi dan Rasul bagi pihak umatnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa engkau adalah hamba-Nya dan Rasul dari kalangan makhluk-Nya. Aku bersaksi juga bahawa engkau telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, menasihati ummah dan berjihad untuk Allah sebenar-benar jihad.”
Sementelah berada di Madinah, usahakan untuk berziarah ke Masjid Quba. ia adalah masjid yang pertama dibangunkan Rasulullah SAW. Masjid Quba dibangun di awal peradaban Islam iaitu pada 8 Rabiulawal tahun 1 Hijrah sekitar 622M.
Ia terletak di luar kota Madinah sekitar 5 kilometer (km) di sebelah tenggara kota Madinah. Masjid Quba kini diubah dan diperluas pada masa Kerajaan Arab Saudi. Masjid ini dibina di atas kebun kurma dengan luas 1,200 meter persegi. Ia memiliki 19 pintu dan tiga pintu utama tempat masuk jemaah ke dalam masjid.
Kelebihan solat di Masjid Quba dirakamkan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “…Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut untukmu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih” (At-Taubah: 108)
Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa bersuci di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba, lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah.” (Riwayat Tirmidzi)
Madinah juga tidak dimasuki dajal. Ini berdasarkan hadis Imam Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Semua negeri akan dimasuki dajal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik daripadanya.”
Bagi kita di Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa proaktif dalam mendepani isu-isu semasa berkaitan masalah haji. Antaranya melalui muzakarah haji yang diadakan.
Berikut adalah beberapa perkara yang diputuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-41 yang berlangsung di Kelantan, September lalu.
– Perbuatan menghidu bahan wangian dalam bentuk cecair semasa dalam ihram tidak dikira sebagai berwangi-wangian yang dilarang. Namun ia makruh dilakukan menurut Mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, sekiranya bahan wangian tersebut disapu atau disembur pada pakaian dan badan atau merendam pakaian atau badan di dalamnya maka ia adalah dilarang semasa dalam ihram.
– Wanita yang sedang beriddah kematian suami tidak dibenar menunaikan haji. Bagaimanapun, dia boleh meneruskan perjalanan haji sekiranya terbukti bayaran yang telah dilunaskan tidak dapat dikembalikan atau luput giliran menunaikan haji. Ini biasanya melibatkan jemaah yang mengambil pakej haji melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH). Bagaimanapun, biasanya TH akan memberi keutamaan kepada golongan begini untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya. Ini bagi jemaah haji muassasah.
– Jemaah haji yang mengalami daimul hadas boleh mengikut cara wuduk Mazhab Syafie walaupun menerima pakai Mazhab Maliki yang tidak mensyaratkan berwuduk setelah masuk waktu dan sunat sahaja memperbaharui wuduk bagi ibadat fardu yang lain selagi tidak terbatal wuduknya. Ini kerana pemakaian Mazhab Maliki tersebut adalah berdasarkan kesukaran (masyaqqah) dan keperluan.
Daimul hadas adalah orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas, umpamanya orang yang kencing tidak lawas, perempuan yang mengalami istihadhah, keputihan yang terlalu banyak dan tidak berhenti, keluar angin secara berterusan daripada qubul dan dubur.
Dalam masa sama, jemaah haji Malaysia hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Ini termasuk mempunyai permit sah iaitu kad Nusuk.
Individu yang melaksanakan ibadah haji tanpa permit sah bakal berdepan penalti sehingga 100,000 riyal (kira-kira RM115,000), termasuk pengusiran dan larangan masuk semula ke negara itu selama 10 tahun.
Antara kesalahan yang dikenakan denda termasuk memohon visa lawatan untuk individu yang kemudiannya cuba menunaikan haji tanpa permit sah, membawa pemegang visa lawatan ke Mekah, serta menyembunyikan atau menempatkan mereka di kediaman, hotel atau mana-mana tempat penginapan sepanjang tempoh larangan iaitu antara 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijjah.
Selamat menunaikan ibadat, semoga beroleh haji mabrur.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










