Kukuhkan perpaduan nasional, elak perpecahan

Kukuhkan perpaduan nasional, elak perpecahan

MALAYSIA memerlukan perubahan dalam memastikan rakyat dapat hidup dengan harmoni walaupun berbilang bangsa, agama dan kaum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perpaduan adalah kunci kemerdekaan dan juga kunci masa hadapan kita.”– Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Ucapan Hari Kemerdekaan, 1957

Perpaduan nasional bukan sekadar slogan yang diulang-ulang setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan atau tema rasmi kementerian. Ia merupakan tiang asas bagi kestabilan politik, keharmonian sosial dan kelangsungan negara.

Negara ini dibina atas kerencaman budaya, bahasa, agama dan sejarah penjajahan yang kompleks menyebabkan perpaduan tidak boleh dianggap selesai hanya kerana tiada konflik fizikal. Ia perlu terus dijaga, disuburkan dan dilindungi dengan dasar yang adil serta kepimpinan berprinsip.

Sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia melalui fasa-fasa penting dalam usaha membina bangsa. Tragedi 13 Mei 1969 menjadi titik peralihan utama dalam kesedaran nasional yang menyedarkan hubungan antara kaum tidak boleh dibiarkan bergantung kepada sentimen semata-mata.

Lantas, Rukun Negara diperkenalkan sebagai asas nilai bersama, manakala Dasar Ekonomi Baru (DEB) pula dilancarkan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosioekonomi yang diwarisi daripada zaman penjajahan.

MASIH RAPUH
Namun kini, lebih setengah abad berlalu, pelbagai kajian dan tinjauan menunjukkan kepercayaan antara kaum masih rapuh.

Laporan Merdeka Center pada tahun lalu misalnya menunjukkan generasi muda di Malaysia masih hidup dalam ruang sosial yang terpisah mengikut kaum, dengan kadar interaksi rendah dan tinggi persepsi stereotaip.

Dalam banyak kes, identiti etnik dilihat lebih dominan daripada identiti kebangsaan. Sementara sistem politik pula sering menumpang retorik perkauman demi undi menyebabkan perpaduan nasional yang tulen terus terpinggir.

Apa yang lebih membimbangkan, Malaysia kini memperlihatkan ciri-ciri awal yang selari dengan fenomena balkanisasi iaitu satu proses pemecahan negara kepada kelompok yang lebih kecil berdasarkan garis etnik atau agama, seperti yang berlaku kepada Yugoslavia.

Dulu, Yugoslavia dipuji kerana berjaya menyatukan pelbagai bangsa di bawah sistem sosialis. Rakyatnya, Serb, Croat, Bosniak, Slovene dan lain-lain hidup bersama dalam sebuah negara yang menjanjikan kesaksamaan dan pembangunan bersama. Namun selepas kematian pemimpin karismatik, Josip Broz Tito pada 1980, segala-galanya berubah.

Kebangkitan nasionalisme etnik yang sempit, peminggiran ekonomi, dasar berat sebelah serta eksploitasi media dan pendidikan mula menghakis kepercayaan antara kaum.

Pemimpin politik mula menyemai kebencian atas nama mempertahankan identiti dan sejarah ditafsir mengikut naratif kaum majoriti. Akhirnya, perang saudara meletus antara 1991 hingga 2001. Perang ini meragut lebih 100,000 nyawa dan menghancurkan struktur negara yang pernah disanjung dunia.

Malaysia tidak berada di ambang konflik fizikal seperti itu, namun corak perpecahan halus sedang berlaku. Sistem pendidikan berasaskan kaum yang mengasingkan anak-anak sejak awal, silibus berat sebelah sejarah, media sosial yang menyuburkan kebencian dan elit politik tidak segan memanipulasi isu agama mahupun kaum untuk meraih kuasa. Jika dibiarkan berterusan, kita mungkin tidak berpecah secara geografi, tetapi dari segi rasa kepunyaan, empati dan visi kebangsaan bersama.

Lebih memburukkan keadaan, usaha-usaha perpaduan yang wujud kini sering dilihat sebagai kosmetik semata-mata. Dasar Perpaduan Negara 2020, Indeks Perpaduan Nasional dan kempen Harmoni Madani adalah contoh inisiatif yang wujud di atas kertas tetapi masih belum menyentuh akar sebenar masalah.

Projek seperti sekolah wawasan yang pada asalnya bertujuan menyatukan pelajar dari pelbagai aliran gagal berkembang akibat tekanan politik dan kurangnya keazaman dasar.

Sistem pendidikan kita terus berjalan dalam lorong berasingan, menghasilkan generasi yang celik akademik tetapi buta terhadap sejarah dan pengalaman kaum lain.

Kita juga tidak boleh menafikan peranan media, terutamanya media sosial, dalam memburukkan atau memperbaiki keadaan. Dalam dunia yang sarat dengan algoritma kebencian, satu rakaman pendek atau kenyataan provokatif boleh mencetuskan kemarahan antara kaum dalam sekelip mata.

Tanpa kawalan naratif dan tanggungjawab bersama, kita sedang bergerak ke arah ruang awam yang dipenuhi ketakutan dan prasangka, bukan keterbukaan atau saling menghormati.

Untuk mengubah haluan ini, Malaysia memerlukan tiga langkah segera. Pertama, dasar afirmatif perlu dirombak ke arah pendekatan berasaskan keperluan dan bukan kaum agar keadilan sosial tidak lagi dilihat sebagai milik eksklusif mana-mana komuniti.

Kedua, sistem pendidikan nasional mesti diperkasa sebagai medan integrasi yang sebenar, bukan sekadar melalui penguasaan bahasa kebangsaan, tetapi dengan pengalaman budaya silang yang membentuk empati dan solidariti.

Dan ketiga, pemimpin politik, media dan masyarakat sivil perlu tampil bersama mematahkan naratif kebencian lalu menggantikannya dengan visi kebangsaan yang inklusif.

Dalam ucapan di Sidang Kemuncak Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 2000, Kofi Annan pernah mengingatkan:

“Mungkin kita mempunyai agama yang berlainan, bahasa yang berlainan, kulit yang berlainan, tetapi kita semua adalah sebahagian daripada satu kaum manusia.”

Kata-kata ini bukan retorik kosong. Dalam konteks Malaysia, ia adalah peringatan bahawa kekuatan kita terletak pada kemampuan untuk melihat perbezaan bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang untuk saling melengkapi.

Malaysia masih belum terlambat. Namun ruang untuk berdiam diri semakin sempit.

Jika perpaduan terus dijadikan alat politik, jika sistem pendidikan terus memisahkan dan jika media sosial terus membakar prasangka, maka sejarah Yugoslavia bukan lagi sekadar kisah negara lain, tetapi bayangan masa hadapan yang sedang menanti kita di simpang jalan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN