HIDUP dalam dunia moden lebih terarah menilai sesuatu daripada sudut kebendaan semata-mata. Itulah yang dijadikan kayu ukur dalam menilai kejayaan dan kekuatan.
Oleh kerana itu, tidak menghairankan jika kebanyakan daripada kita percaya pencapaian material itulah adalah segala-galanya dan dijadikan matlamat hidup.
Memang tidak salah untuk mengejar kekayaan material dan duniawi, malah ia amat penting bagi mengangkat martabat bangsa. Namun begitu, masalah akan timbul jika terlalu taasub berpegang kepada nilai kebendaan semata-mata sehingga gagal melihat serta menghargai nilai-nilai penting yang tidak berbentuk material.
Jika ditanya tentang cita-cita, ramai remaja mengimpikan kerjaya yang serba mewah, menghasilkan pendapatan lumayan secara cepat dan tanpa perlu bekerja kuat serta tidak terikat kepada peraturan kerja yang ketat. Justeru, tidak hairanlah apabila ramai yang memasang cita-cita mahu menjadi pempengaruh atau pengasas produk setelah melihat kemewahan dipaparkan di media sosial oleh idola-idola mereka.
Ketika anak-anak berada di bangku sekolah, ramai yang menilai kejayaan mereka berdasarkan bilangan gred A yang peroleh dalam peperiksaan. Oleh kerana itu juga, ramai yang tidak berpuas hati apabila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dimansuhkan kerana beranggapan keupayaan anak-anak tidak dapat dinilai tanpa peperiksaan besar seperti itu.
Pelajar-pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diraikan dengan mengangkat plakat menunjukkan jumlah A. Aktiviti ini sudah menjadi trend saban tahun ketika hari pengumuman keputusan peperiksaan itu.
Maka, apabila acara ini tidak lagi boleh diadakan di dalam kawasan sekolah seperti sebelumnya, ramai warga maya yang marah dan mempertikaikannya. Mereka mempersoalkan mengapa pelajar cemerlang tidak lagi boleh diraikan dengan meriah, yang mana keadaan ini dianggap sebagai tidak adil kepada mereka yang telah berusaha keras untuk berjaya?
Namun, jika amati ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai hal tersebut, kita dapat memahami kewajarannya dalam memberi keadilan dan penghargaan kepada seluruh pelajar. Tidak semua pelajar mampu mencapai tahap kecemerlangan akademik yang tertinggi kerana masing-masing berbeza tahap keupayaan pembelajaran.
Oleh itu, semua pelajar harus diraikan kerana mereka bekerja keras. Kejayaan sekolah ialah kejayaan bersama bagi setiap warganya. Apa yang dapat difahami daripada hal ini ialah kita harus menghormati setiap insan tanpa mengira status sosial mereka.
Sebelum ini, saya pernah mendengar luahan pengalaman kawan-kawan yang merasa dipinggirkan ketika mereka mengambil keputusan SPM hanya kerana tidak mencapai bilangan A tertentu.
Lebih malang lagi, pada masa sama, mereka juga merasa sedih dan kecewa kerana keputusan yang diperoleh tidaklah seperti yang diharapkan walaupun sebelumnya dijangka akan berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Hakikatnya, bukan semua pelajar yang gagal mendapat 9A atau 8A itu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ada pelajar yang bertungkus-lumus belajar tetapi diuji dengan dugaan berat menjelang tibanya hari peperiksaan. Ada juga yang tidak sihat pada hari peperiksaan atau membuat kesilapan yang tidak dijangkakan ketika menjawab soalan. Sudah tentu mereka merasa sangat kecewa.
Langkah ini dapat menzahirkan rasa belas kasihan kepada pelajar yang sedang bersedih dan kecewa dalam masa rakan-rakan mereka bergembira menyambut kejayaan. Maka, pihak sekolah khasnya harus menyuntik semangat kepada mereka yang gagal memperoleh keputusan cemerlang bagi memastikan golongan itu tidak berputus asa dan bangkit berusaha dengan lebih kuat.
Lebih penting lagi, kejayaan seseorang pelajar bukan hanya patut dinilai secara material melalui bilangan A yang diperoleh semata-mata, tetapi harus merangkumi sifat manusiawi, belas kasihan serta nilai mulia yang berjaya ditanam dalam diri pelajar tersebut.
Tujuan pendidikan adalah untuk memberi ilmu berguna dan melahirkan insan yang bijaksana, bersifat ihsan, berbelas kasihan serta berdaya secara holistik. Malangnya, kini kita terperangkap dalam kitaran kebendaan sehingga tidak mahu melihat di luar skop materialnya.
Ramai pelajar belajar semata-mata kerana mahu mengejar A agar mendapat gred yang baik dan bukannya dengan hasrat untuk mengejar ilmu bagi mencari kebenaran serta membawa kesejahteraan. Para institusi pendidikan pula berlumba-lumba mahu diiktiraf tempat yang terbaik dari sudut penarafan material.
Justeru, bagaimanakah kita dapat melahirkan sebuah masyarakat yang maju secara holistik dan madani jika kita tidak mahu berubah daripada cara lama? Kita harus bersifat terbuka kepada idea baharu dan membuat penilaian dengan bijaksana tanpa berpaut kepada nostalgia semata-mata.
Untuk membina masyarakat yang mampu melahirkan daya cipta baharu, kita memerlukan sistem pendidikan yang bermutu dan progresif bagi membolehkan proses pencernaan ilmu berlaku dengan baik dan berkesan.
Kita harus berlumba-lumba mencari serta memanfaatkan ilmu dan bukannya belajar sekadar mengejar keputusan yang tinggi.
IPT
Masalah ini juga terbawa-bawa sampai ke universiti, apabila institut pendidikan tinggi (IPT) masing-masing sibuk mengejar penarafan universiti tanpa memikirkan mutu pendidikan. Alasan yang diberi ialah agar lebih ramai penuntut berkerumun ke IPT. Namun apa gunanya ramai pelajar jika mutu pendidikan diabaikan begitu sahaja? Apa gunanya ramai pelajar jika IPT itu tidak membawa manfaat kepada masyarakat awam?
Alhamdulillah, kini semakin banyak institusi pendidikan di seluruh dunia yang menyedari tentang kenyataan ini dan mula mengalih tumpuan daripada perihal material kepada perihal praktikal.
Itulah juga sebabnya kita semakin ke arah penglibatan institusi pendidikan dan masyarakat. Ini bagi memastikan pendidikan bukan sahaja mengajar bagi mengejar kebendaan, tetapi mendayakan masyarakat untuk menyelesaikan masalah dunia.
Sudah tiba masanya kita mengorak langkah keluar dari ruang selesa dan berusaha mengangkat mutu pendidikan negara selaras dengan peredaran zaman.
Kita tidak boleh bersifat kaku dan takut kepada sesuatu yang baharu.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










