PETALING JAYA: Keputusan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk melepaskan mana-mana pegangan atau menukar portfolio pegangannya tidak pernah dibuat atas tekanan untuk membayar dividen kepada kerajaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, aliran tunai syarikat minyak dan gas negara itu juga dalam keadaan baik dan cukup untuk melunaskan komitmennya.
Katanya, didorong harga produk yang baik, daya tahan operasi berterusan dan kecemerlangan komersial, Petronas telah menjana aliran tunai yang cukup untuk modal kerja dan melunaskan hutang.
“Secara jelas, apabila kami menguji pembayaran dividen, ia berada dalam parameter kemampuan kami.
“Maknanya, sebelum kami buat keputusan untuk pemberhentian pelaburan, (kedudukan kewangan) kami sudah sedia sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tengku Taufik menegaskan, apa-apa keputusan perniagaan yang dilakukan Petronas bukan disebabkan tekanan luar, terutamanya daripada kerajaan.
Kata beliau, apa-apa permintaan daripada kerajaan akan melalui penilaian teliti daripada pihak pengurusan dan lembaga pengarah yang mana hanya jika permintaan tersebut tidak menjejaskan kemampuan syarikat untuk menyelesaikan komitmen dan selari dengan Akta Syarikat 1965, barulah ia diluluskan.
“Dalam hal terbaharu, permintaan tambahan berlaku selepas unjuran harga minyak meningkat pada separuh kedua tahun ini dan terus kekal pada paras AS$75 (RM313.91) hingga AS$83 (RM347.40).
“Jadi, kita dapat lihat keadaan yang mana sememangnya unjuran dan analisis menunjukkan kemampuan kita untuk bayar. Jadi, jangan lagi kaitkan pemberhentian pelaburan dengan apa-apa tekanan untuk membayar dividen,” katanya.
Ogos lalu, Petronas mengumumkan pembayaran dividen tambahan berjumlah RM7 bilion menjadikan jumlah dividen yang dibayar syarikat itu kepada kerajaan adalah sebanyak RM25 bilion pada tahun ini.
Sementara itu, Tengku Taufik turut menyatakan kesediaan Petronas untuk memberikan komitmen terhadap Cukai Makmur yang akan dikenakan pada tahun taksiran 2022.
Menurut beliau, pihaknya memahami keperluan pelaksanaan cukai sekali bayar tersebut yang diharap dapat membantu negara keluar daripada krisis pandemik.
“Perbincangan saya bersama Kementerian Kewangan menggambarkan ia sebagai cukai sekali bayar, jadi kami boleh beri komitmen.
“Harapnya, ia akan ditujukan kepada pemulihan pandemik Covid-19 selain persediaan untuk menghadapi pandemik lain.
“Malah, kami juga mendapat jaminan yang selepas itu, keadaan akan kembali kepada normal. Kami berpegang kepada itu,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (BN-Tuaran) di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat tahun lalu, sejumlah RM1.2 trilion telah disumbangkan oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, bayaran tunai dan cukai.
Beliau berkata, keberkesanan dan keupayaan Petronas dalam membangunkan sektor minyak dan gas selama ini, banyak menyumbang kepada pembangunan negara. – UTUSAN










