Analisis
BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto masing-masing hari ini, yang akan memainkan peranan menentukan hala tuju parti untuk menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagi pengundi di Melaka, pada masa ini bukanlah bulan dan bintang yang mereka tunggu daripada manifesto yang dibentangkan, tetapi program mengatasi masalah banjir. Kalau nak sebut yang lain, isu ekonomi semuanya dibentangkan dalam Bajet Nasional 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Isu yang menjadi keutamaan rakyat Melaka sekarang ialah tentang banjir. Setakat Oktober lalu, sebanyak 36 kampung dan kawasan perumahan di tiga daerah – Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Setiap kali hujan yang agak lama, rakyat di kawasan-kawasan terjejas akan resah gelisah, malah beberapa jalan-jalan utama berisiko untuk dilalui kenderaan ringan.
Masalah banjir bukan baharu di negeri ini. Sudah lama tetapi isu yang sama masih berulang. Apa lagi yang diharapkan pada PRN ini, melainkan rakyat mengharapkan satu program komprehensif mengatasi masalah banjir buat selama-lamanya.
Isu kedua yang menjadi yang menjadi keutamaan penduduk ialah tentang kemudahan mengakses internet. Beberapa kawasan terutama yang jauh daripada kemudahan pemancar memerlukan perhatian pada zaman yang rata-rata mengaplikasikan digital.
Manifesto perlu realistik dan bukan janji kosong. Isu-isu berkaitan rakyat sangat popular apatah lagi jika berkaitan dengan urusan kehidupan mereka setiap hari.
Dalam hak ini, rakyat perlu waras dalam membuat penilaian. Ikutkan hati terkubur. Kalau ditanya mereka, isu-isu Covid-19 belum selesai, malah kehidupan masih terjejas dan memerlukan masa untuk pulih kepada asal.
Banyak sumber berasaskan pelancongan yang perlu diberi ruang penyertaan rakyat. Ini termasuklah menarik kemasukan pelaburan yang menyediakan peluang kerja Jika ini dapat diadakan dalam manifesto, sudah tentu ia mampu menarik minat rakyat.
Cumanya, jangan ia janji semata-mata sebab ia akan memakan diri. Selain kestabilan politik, apa yang diperlukan rakyat Melaka ialah bangkit dan pulih daripada pandemikl Covid-19. – UTUSAN










