Mengemosikan bahasa Melayu

Mengemosikan bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIDAPATI keputusan cemerlang mata pelajaran bahasa Melayu pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak pun diraikan dengan penuh kegembiraan. Para pelajar hanya gembira kerana berjaya memperoleh gred A.

Ini dapat dilihat apabila dibandingkan dengan kegembiraan mereka untuk mata pelajaran lain.

Hal ini didapati ada kaitan dengan tujuan mata pelajaran bahasa Melayu dipelajari, iaitu atas dorongan instrumental. Ia dipelajari hanya bagi memenuhi syarat wajib lulus untuknya. Juga bagi memperoleh sijil untuk peperiksaan awam yang diambil itu.

Dengan ini, ia baik sekali untuk mengetahui dan menguasai bahasa Melayu untuk tujuan praktikal. Antara tujuan ini ialah untuk sekurang-kurangnya memperoleh gred minimum bagi kelulusan wajib itu.

MATA pelajaran bahasa Melayu hendaklah disampaikan kepada para pelajar, untuk mereka memahami untung nasibnya dan berempati dengannya sebagai bahasa terutama di negara ini.

Dalam hal ini, bahasa Melayu dipelajari dengan bersungguh-sungguh hanya bagi berjaya secara akademik.

Sehubungan ini, bahasa Melayu dilihat semata-mata dari segi manfaat ekonomi, iaitu dalam pengertian faedah yang diperoleh. Dalam hal ini, bahasa Melayu dipelajari untuk menjamin masa hadapan lebih cerah dalam sistem pendidikan kebangsaan di negara ini.

Sepatutnya bahasa Melayu juga hendaklah diajar atas dorongan integratif. Untuk ini, pendidikannya adalah untuk mengaitkan bahasa Melayu dengan budaya Melayu. Dalam hal ini, ia menekankan integrasi budaya.

Antaranya dengan cara bahasa Melayu diajar untuk menghubungkan para pelajar dengan komuniti penutur jati bahasa Melayu.

Dengan penekanan begini, para pelajar akan diajar bagi bukan sahaja mengetahui bahasa Melayu dengan baik untuk dikuasai pada tahap tinggi. Juga agar para pelajar dapat memahami, selain berintegrasi untuk mengaitkan diri mereka dengan budaya Melayu dan komuniti penutur jati bahasa Melayu.

Ini kerana kepentingan budaya yang ditekankan itu sebenarnya berjaya membekalkan pelbagai maklumat. Antaranya tentang sejarah, warisan lampau, cara hidup kini dan komuniti penutur jati bahasa Melayu itu sendiri.

Melalui penekanan sebegini, akan wujudlah integrasi sosial yang memperlihat adanya pergaulan dengan komuniti penutur jati bahasa Melayu. Ini seterusnya akan mewujudkan hubungan dengan komuniti penutur jati bahasa Melayu yang tinggi intensitinya dan kerap frekuensinya.

Selain mengimbangi kedua-dua pendekatan instrumental dan integratif, agar gred A bagi mata pelajaran bahasa Melayu diraikan dengan penuh kegembiraan yang sebenar-benarnya, mata pelajaran ini hendaklah diemosikan.

Dengan ini, mata pelajaran bahasa Melayu hendaklah diinspirasikan dengan emosi, yakni pemikiran dan perasaan terhadap bahasa Melayu dan nilai, iaitu kepentingan dan martabatnya.

Untuk ini, penting sekali ialah penggunaan bahasa afektif. Ia adalah bentuk bahasa untuk memperoleh impak positif terhadap bahasa Melayu semasa menyampaikan emosi dan nilai tentangnya.

Penggunaan bahasa afektif ini adalah antaranya dalam bentuk perkataan dan ungkapan mahupun nada dan intonasi suara untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan terhadap bahasa Melayu serta kepentingan dan martabat padanya.

Dengan kata lain, banyak bentuk bahasa emosi hendaklah digunakan, baik yang verbal seperti kata kerja dan kata sifat, mahupun yang bukan verbal, seperti pergerakan badan dan ekspresi muka.

Sesungguhnya kesemua ini bertujuan untuk mempengaruhi dan membina hubungan para pelajar dengan bahasa Melayu. Antara tujuan ini ialah untuk berempati dengannya, iaitu memahami, menyedari selain peka dan sensitif akan bahasa Melayu.

Sebenarnya penggunaan bahasa afektif ini adalah untuk menyampaikan mesej emosional tentang bahasa Melayu. Ini penting untuk bukan sahaja melibat, juga mempertingkat pembabitan para pelajar untuk menyatakan emosi mereka terhadap nilai bahasa Melayu.

Natijahnya di sini ialah harus diwujudkan pendidikan bahasa Melayu yang sifatnya adalah pengajaran-pembelajaran sosial.

Dengan ini, ia bermakna mata pelajaran bahasa Melayu hendaklah disampaikan kepada para pelajar, untuk mereka memahami untung nasibnya dan berempati dengannya sebagai bahasa terutama di negara ini.

Ini penting sekali untuk bukan sahaja mewujud, juga untuk membangunkan emosi sosial tentang bahasa Melayu. Emosi sosial ini antaranya meliputi perasaan kompleks setelah adanya kesedaran terhadap bahasa Melayu, sesudah berempati dengannya.

Seperkara penting tentang penggunaan bahasa afektif ialah ia dapat mengurangkan konflik, yakni dalam erti kata menyalahkan para pelajar atas sikap negatif mereka terhadap bahasa Melayu.

Sebaliknya ia dapat mewujudkan persekitaran yang lebih positif. Ini penting sekali untuk membangkitkan semangat kebangsaan dan cintakan negara dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Dalam proses mengemosikan bahasa Melayu, pelbagai tindakan terhadapnya hendaklah dilakukan. Antaranya berasa bangga untuk menggunakan bahasa Melayu. Dalam hal ini, para pelajar hendaklah dianjurkan untuk selalu berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Sebenarnya penganjuran begini bukan sahaja adalah untuk membina sikap positif dan kebanggaan bahasa Melayu. Juga bagi mengukuhkan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat. Sesungguhnya kesemua ini adalah sumber kepada hubungan para pelajar dengan warisan budaya.

Selanjutnya ialah kesayangan bahasa Melayu. Ia adalah kesedaran dan motivasi yang cakna lagi insaf terhadap penggunaan bahasa Melayu secara pintar, yakni yang bersesuaian dengan suasana, sama ada yang rasmi atau yang tidak.

Selain secara pintar ini, bahasa Melayu juga hendaklah digunakan secara tepat, iaitu dengan baik dan betul mengikut keperluannya berdasarkan suasana, sama ada yang formal atau sebaliknya.

Seperkara penting dalam hal kesayangan bahasa Melayu ini ialah bahasa Melayu hendaklah digunakan secara terhormat. Ia penting agar penggunaannya sesuai dengan martabatnya sebagai bahasa negara, sama ada dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi.

Sesungguhnya menerusi penggunaan bahasa Melayu dengan tepat, penuh hormat dan pintar, ia adalah manisfestasi kesayangan bahasa Melayu yang harus ada pada setiap rakyat.

Seterusnya ialah kesetiaan bahasa Melayu. Ia kesanggupan selain keazaman untuk melindungi bahasa Melayu pada setiap masa. Antara perlindungannya termasuklah mempertahan bahasa Melayu daripada sebarang dampak yang akan merosakkannya.

Juga adalah ikrar untuk tidak sesekali mengkhianatinya dalam apa-apa jua bentuk dan cara.

Sebenarnya penanda utama kesetiaan bahasa Melayu ialah bukan sahaja komitmen agar ia terus maju dalam semua konteks. Juga azam jangka panjang dalam bekerja keras untuk memantapkannya lagi.

Ini adalah agar ia selalu mampan pertama-tamanya di tanah watannya sendiri dan selanjutnya di persada dunia.

Untuk bahasa Melayu terus mampan, ia hendaklah diemosikan. Dengan ini, apa-apa jua perkara tentang bahasa Melayu hendaklah diperkata dalam bentuk emosi untuk melestarikan nilainya.

Dalam hal ini, rasa keterikatan kuat kepada bahasa Melayu hendaklah selalu dipupuk untuk memastikan nilai kemuliaannya terus disanjung tinggi pada sepanjang zaman. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN