Penduduk lega jambatan sementara dibina - Utusan Malaysia

Penduduk lega jambatan sementara dibina

PENDUDUK Kampung Setol melihat sisa-sisa bekas runtuhan jambatan Kampung Setol dibersihkan bagi memulakan pembinaan jambatan sementara di Yan, Kedah, semalam. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Lebih 500 penduduk di tiga buah kampung menarik nafas lega apabila kerja-kerja pembinaan jambatan sementara di Kampung Setol di sini, bermula semalam selepas jambatan konkrit asal roboh dalam kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu.

Jambatan kontrik sepanjang 10 meter yang menghubungkan Kampung Setol, Kampung Pauh dengan Kampung Acheh sebelum ini adalah jalan pintas kepada penduduk di kampung berkenaan ke pekan Yan dan sekolah-sekolah berdekatan.

Seorang penduduk Kampung Setol, Che Lin Isa, 80, berkata, penantian mereka selama lebih dua bulan untuk mendapatkan sebuah jambatan sementara akhirnya tercapai.

“Pihak berkuasa tempatan mula membersihkan sisa-sisa runtuhan jambatan itu untuk pembinaan jambatan sementara tersebut.

“Kami bersyukur kerana akan dapat menggunakan kembali jalan ini untuk ke pekan Yan berbanding menggunakan jalan di Kampung Rendang Pasir dengan jarak lebih jauh iaitu kira-kira lima kilometer selepas kejadian kepala air lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Fadzil Saad, 65, dari Kampung Setol pula berharap selepas ini kerajaan tidak lagi melengahkan kerja-kerja membina jambatan kekal kerana jalan itu adalah laluan penting untuk pelajar menjelang pembukaan sesi persekolahan nanti.

“Ramai pelajar dari Kampung Acheh menggunakan jalan alternatif ini untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pauh manakala pelajar dari Kampung Setol pula menjadikan jalan ini ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkasuka dan Maktab Mahmud Yan di pekan Yan,” ujarnya.

Asriah Abu Bakar, 53, dari Kampung Setol berkata, walaupun jambatan sementara itu hanya boleh digunakan untuk motosikal dan basikal tetapi ia tetap memudahkan pergerakan penduduk kampung yang terletak berdekatannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN