PASIR PUTEH: Majlis Amanah Rakyat (Mar) tidak bercadang merangka mekanisma baharu bagi menangani kes buli yang membabitkan pelajar sama ada di peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau mana-mana institusi pengajiannya.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mekanisme sedia ada sudah mencukupi untuk mendidik dan memberi panduan disiplin berhubung buli.
Katanya, setiap pelajar baharu sudah berikrar dan menandatangani aku janji yang disediakan sebelum meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara.
“Prosedur dan mekanisme sedia ada sudah lengkap tanpa perlu ditambah baik. Keterlanjuran membabitkan disiplin terutama buli bererti pelanggaran yang tidak boleh dimaafkan.
“Penegasannya, Mara tiada kompromi dalam soal buli membuli sama ada secara fizikal atau mental. MRSM adalah wadah menimba ilmu dan kemahiran bukan tempat untuk bertindak di sebaliknya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di Dewan UMNO Uthmaniyyah, di sini, hari ini.
Asraf Wajdi berkata, sepanjang sesi suai kenal pelajar baharu di MRSM, mereka sudah dimantapkan dengan pengukuhan disiplin selain bimbingan kaunseling.
“Tindakan membuang mereka adalah wajar kerana Mara mementingkan kualiti pelajar yang cemerlang, sifat kepemimpinan, setia kawan dan memiliki jati diri yang tinggi,” katanya.
Asraf berkata, apa yang berlaku adalah pengajaran yang perlu diambil iktibar selepas ini kerana tiada peluang kedua kepada mereka yang melanggar disiplin.









