PUBG, Tupperware, Aaron Aziz, antara alasan cerai - Utusan Malaysia

PUBG, Tupperware, Aaron Aziz, antara alasan cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isteri suka menghabiskan masa melayan permainan dalam talian PUBG, terlalu meminati pelakon Aaron Aziz dan rumah bersepah dengan produk Tupperware antara punca remeh kes perceraian pasangan Islam di negara ini.

Masalah rumah tangga semakin meruncing ketika pandemik Covid-19 dan ada antara pasangan mengalami tekanan kerana kekangan kewangan mengakibatkan kehidupan sebagai suami isteri runtuh sekelip mata.

Mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), sejumlah 86,468 kes perceraian berlaku dalam tempoh wabak itu melanda pada awal tahun 2020 hingga bulan lalu.

Angka terbaharu itu menambah jumlah perceraian kepada 212,080 kes yang direkodkan menerusi pendaftaran kes tuntutan perceraian di mahkamah syariah di seluruh negara dalam tempoh hampir empat tahun iaitu 2018 hingga 27 Oktober 2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia berdasarkan kes tuntutan fasakh, pengesahan lafaz cerai luar mahkamah, tuntutan talak, tuntutan khulu’ atau tebus talak dan tuntutan cerai taklik.

Beliau yang juga Ketua Pengarah JKSM berkata, daripada maklumat hakim yang mengendalikan kes-kes cerai berkenaan terdapat kes remeh seperti terlalu cemburu apabila isteri meminati Aaron Aziz dan isteri leka bermain PUBG yang turut menjadi antara punca keruntuhan rumah tangga.

Menurut beliau, ada juga kes pasangan bercerai hanya semata-mata isteri ingkar arahan suami supaya tidak makan mi segera semasa hamil selain ada dalam kalangan isteri melaksanakan perniagaan produk Tupperware sehingga rumah penuh berselerak dengan barangan itu sehingga suami tidak tahan dengan sikap tersebut.

Bagaimanapun katanya, terdapat lima faktor utama berlaku kes perceraian di negara ini iaitu sudah tiada persefahaman, masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab nafkah, hubungan dengan pihak ketiga dan tekanan emosi.

“Masalah rumah tangga turut dikesan berlaku dalam tempoh pandemik Covid-19 apabila ada antara pasangan kehilangan kerja yang memberi kesan besar kepada keupayaan kewangan suami sebagai penyedia utama nafkah keluarga.

“Apatah lagi jika ia adalah penyedia tunggal nafkah (isteri tak bekerja). Begitu juga dengan faktor tekanan mental dan emosi ketika pandemik dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak semua orang boleh adaptasi kebiasaan baharu dengan baik,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kes tertinggi direkodkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 64,988 kes berbanding tahun sebelumnya mencatatkan sejumlah 60,624 kes.

Bagaimanapun, katanya, kes perceraian semakin menurun selepas 2019 iaitu sebanyak 53,272 kes pada 2020 dan 33,196 kes pada tahun ini setakat tempoh semalam.

“Pendaftaran kes tertinggi ialah melibatkan tuntutan talak berjumlah 109,419 kes dalam tempoh empat tahun ini, diikuti kes pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah sebanyak 69,205 kes.

“Selain itu, kes tuntutan fasakh merekodkan sejumlah 24,904 kes manakala kes tuntutan cerai taklik sejumlah 7,989 kes dan kes terendah pula melibatkan tuntutan khulu’ atau tebus talak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN