Analisis
Kehadiran orang politik luar Melaka sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) mencetuskan persoalan apakah mampu meraih sokongan rakyat atau sebaliknya.
Bukan sahaja Barisan Nasional (BN), malah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) turut senada mengetengahkan otai-otai politik dan pemimpin berprofil membantu kempen.
Antara yang popular bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau merantau ke setiap pelosok negeri ini bertemu rakyat dan membawa maksud besar BN kepada rakyat.
Terbaharu, bekas pemimpin besar negeri juga dilaporkan berada dalam satu program parti politik yang dulunya adalah seteru.
Malah sebelum hari pencalonan pilihan raya lagi, pemimpin dan jentera luar berkampung di seluruh negeri untuk berkempen selain terdapat negeri menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai kawasan angkat untuk aktiviti kempen masing-masing.
Sehubungan itu, lokasi tumpuan seperti Bandar Hilir, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Jasin dipenuhi orang luar yang sibuk meraih sokongan rakyat Malaysia sehingga menyebabkan hotel dan rumah inap sering penuh ditempah sehingga pilihan raya berakhir pada Sabtu depan.
Oleh demikian, setiap hari ada sahaja aktiviti kempen pemimpin berkenaan sehingga meliputi ceruk-ceruk negeri semata-mata untuk memancing pengundi agar memilih calon parti mereka dan akhirnya dapat membentuk kerajaan negeri kelak.
Walaupun tidak menjadi kesalahan, namun menjadi persoalan adalah berhubung kehadiran mereka untuk berkempen dan memperjuangkan nasib pengundi negeri ini.
Adakah Melaka sudah ketandusan aura pemimpin bagi menawan hati rakyat? Walaupun perkara ini lazim dalam mana-mana pilihan raya, namun akhirnya calon juga yang akan dinilai pengundi. Ada yang berkata lebih baik tonjolkan calon daripada nama-nama besar lain.
Nama-nama pemimpin politik tempatan seperti Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin cukup dikenali tetapi mungkin memerlukan suntikan tambahan populariti nama-nama besar pemimpin berprofil tinggi.
Namum kehadiran mereksa boleh diibarat melalui satu perbandingan iaitu hanya rakyat Melaka lebih mengenalii kedai Asam Pedas yang paling sedap, berbanding orang luar yang sering memenuhi restoran sama jika melancong ke negeri ini. – UTUSAN










