Kembar Siam Muhammad kini pemegang ijazah - Utusan Malaysia

Kembar Siam Muhammad kini pemegang ijazah

MUHAMMAD Rosli menerima ijazah daripada Presiden MSU, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Shukri Abd. Yajid dalam istiadat konvokesyen Selasa lalu di kampusnya di Shah Alam, Selangor. - IHSAN MSU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Muhammad Rosli, 23, salah seorang daripada pasangan kembar Siam yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001 kerana kedua-duanya dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha, bergelar graduan semalam.

Dia menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Management dan Science University (MSU) walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda sepanjang masa.

Ditanya rahsia kejayaannya, Muhammad berkata, nasihat arwah ibunya supaya belajar bersungguh-sungguh dan membantu adik-beradik lain menjadi dorongan paling kuat untuk belajar sehingga menggenggam ijazah.

Menurutnya, menyedari kekurangan diri yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda sejak berada di bangku sekolah sehingga sekarang, anak kedua daripada lima beradik itu bertekad menyambung pelajaran hingga ke menara gading.

“Hanya ilmu yang mampu menjadikan kami ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan orang biasa. Ijazah ini mengingatkan saya kembali bahawa begitu berharga kenangan lalu dan nasihat arwah ibu.

“Gembira ada, sedih pun ada. Gembira tentulah sebab dapat menamatkan pengajian. Rasa sedih pula bila terkenang zaman berulang-alik ke kuliah, bersama rakan-rakan.

“Bertahun-tahun ayah hantar ke kampus dan balik setiap hari tanpa rasa jemu. Semua itu bermain di fikiran. Tetapi yang paling diingati adalah nasihat arwah ibu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Muhammad berkata, ketika ini hanya dia sahaja yang bergraduasi makala kembarnya, Ahmad pula meneruskan pengajian di peringkat diploma dan tamat tahun depan.

Dia mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa mendoakan kesihatan dan kejayaannya bersama Ahmad sejak kecil terutama MSU, rakan-rakan di universiti dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menaja pengajian mereka.

“Kepada mereka yang senasib dengan kami, walaupun kita tak sempurna, tetapi tetap boleh jalani hidup seperti orang biasa. Orang biasa pun ada kekurangan, kita boleh jadikan kekurangan diri sebagai kekuatan,” ujarnya.

Pada 2001, kisah Ahmad dan Muhammad bukan sahaja menjadi perhatian rakyat Malaysia malah menjadi perhatian Kerajaan Arab Saudi dan Raja Abdullah yang menaja pembedahan memisahkan mereka pada 2002 di Riyadh.

Kali terakhir mereka berhubung dengan pemerintah Arab Saudi itu ialah pada 2007 apabila baginda mengundang mereka ke sana untuk dihadiahkan dengan kaki palsu bagi memudahkan mereka ke sekolah. Raja Abdullah mangkat pada 23 Januari 2015. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×