Buat aksi 'wheelie' di jambatan angkat, mat rempit Kelantan ditahan - Utusan Malaysia

Buat aksi ‘wheelie’ di jambatan angkat, mat rempit Kelantan ditahan

TANGKAP layar rakaman video yang memaparkan penunggang lelaki melakukan aksi 'wheelie' secara berulang kali di jambatan angkat atau drawbridge di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang mat rempit dari Kelantan melakukan aksi wheelie secara berulang kali di jambatan angkat di sini mengundang padah apabila dia ditahan, semalam. 

Remaja berusia 19 tahun itu ditahan di Kampung Kual Baru, Pengkalan Kubur di Tumpat, Kelantan kira-kira pukul 7.05 malam. 

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri dalam satu kenyataan berkata, penahanan lelaki itu susulan laporan polis yang dibuat selepas  rakaman video yang memaparkan aksinya menunggang motosikal secara berbahaya tular di media sosial. 

“Suspek yang bekerja sebagai buruh mengakui dia merupakan individu dalam video tular itu dan motosikal Honda EX5 yang digunakan adalah milik abangnya. 

“Aksi itu dilakukannya pada 12 November lalu semasa berkunjung ke Kuala Terengganu bersama rakan-rakannya,” kata kenyataan itu. 

Rakaman video berdurasi 43 saat itu dimuat naik di kumpulan Facebook ‘Raja Kapcai HQ’ sejak Ahad lalu dan hingga kini mendapat lebih 748,000 tontonan di samping 887 perkongsian. 

JSPT berkata, suspek bersama motosikal itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Katanya, remaja berkenaan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan. 

“JSPT akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk membuat tingkah laku dan aksi-aksi yang membahayakan diri sendiri dan pengguna lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya