Sesuaikah kita berpilihan raya sekarang? - Utusan Malaysia

Sesuaikah kita berpilihan raya sekarang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA negeri sudah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing iaitu Johor dan Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Apabila pembubaran telah dilakukan, maka PRN perlu diadakan berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang. Kini pilihan kembali ke tangan rakyat untuk menentukan siapa yang bakal menjadi kerajaan di kedua-dua negeri itu.

Ekoran itu juga, timbul desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) juga akan menyusul selepas itu. Walaupun telah dinafikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun khabar angin itu tetap bertiup kencang.

Cuma persoalan besar yang timbul ialah adakah ini masa yang cukup sesuai untuk kita berpilihan raya?

Tidak ada siapa menafikan bahawa pilihan raya adalah tunjang kepada sistem demokrasi. Melaluinya rakyat boleh menentukan hala tuju negeri atau negara melalui mandat yang diberikan kepada parti dan pemimpin pilihan. Namun, dalam keadaan dunia berhadapan dengan krisis. Yang tempiasnya turut terkena kepada Malaysia. Yang tiap hari apabila rakyat bangun dengan soalan hari ini harga minyak naik atau turun, adakah ia masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Ketika dunia dalam keadaan tunggang terbalik disebabkan Amerika Syarikat dan Israel, pelbagai cabaran besar memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Konflik geopolitik yang berlarutan mengganggu rantaian bekalan tenaga dan makanan global. Harga minyak mentah yang tidak menentu, kos pengangkutan yang meningkat serta tekanan inflasi telah menyebabkan kos sara hidup rakyat terus menjadi perhatian utama.

Dalam situasi sebegini, keutamaan kerajaan tertumpu kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara. Menjamin bekalan tenaga yang mencukupi. Memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Sudah tentu jika berlaku pilihan raya ia boleh mengalihkan fokus pentadbiran negara daripada isu-isu kritikal ini perlu dinilai secara teliti dan bertanggungjawab kepada kempen politik yang tiada penghujungnya.

Dalam situasi ini kita bimbang jika terdapat keadaan di mana pilihan raya digunakan sebagai alat untuk mengukuhkan kedudukan politik pihak tertentu. Ketika sesebuah parti atau gabungan merasakan mereka berada dalam kedudukan kuat, desakan untuk mendapatkan mandat baharu sering kali muncul. Tindakan tersebut tidak salah dari sudut demokrasi, cuma timbul persoalan sama ada kepentingan politik jangka pendek harus didahulukan berbanding kepentingan rakyat yang sedang berdepan tekanan ekonomi.

Pilihan raya juga memerlukan perbelanjaan yang besar serta mobilisasi jentera kerajaan dan institusi berkaitan. Dalam tempoh kempen, perhatian masyarakat sering tertumpu kepada persaingan politik, manakala isu-isu asas yang babitkan kepentingan dan kebajikan rakyat mungkin tenggelam.

Ini tidak bermakna pilihan raya perlu dielakkan selama-lamanya. Sebaliknya, pilihan raya perlu diadakan pada masa yang tepat atau benar-benar sudah sampai tempoh. Demokrasi bukan sekadar soal mengundi, tetapi juga soal tanggungjawab memastikan setiap keputusan politik memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

Kestabilan negeri atau negara tidak boleh dijawab berdasarkan kepentingan parti politik semata-mata. Ia juga mesti berpandukan keadaan ekonomi negara, kestabilan sosial dan ke­sejahteraan rakyat. Dalam saat dunia berdepan ketidaktentuan yang semakin meningkat, rakyat berhak melihat kepimpinan yang mengutamakan penyelesaian masalah negara sebelum memikirkan keuntungan politik. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia