‘Saya baik dengan Pas, yang bermasalah kumpulan bekas MB’

‘Saya baik dengan Pas, yang bermasalah kumpulan bekas MB’

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas Perlis baik, cuma bermasalah dengan kumpulan bekas Menteri Besar sahaja.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, hubungan beliau bersama jawatankuasa Pas negeri yang berjawatan juga tidak mempunyai sebarang masalah.

Katanya, kritikan atau serangan yang diterima selama ini juga datang dari kumpulan tersebut.

“Saya tidak ada masalah dengan Pas Perlis dengan kesemua tiga Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan dan ketua sayap parti, semua mempunyai hubungan cukup baik dengan saya. Kita cuma ada sedikit masalah dengan bekas-bekas Exco dan bekas Menteri Besar ini sahaja.

“Enam orang ini ada masalah sikit, tetapi tidaklah sebesar mana dan kritikan-kritikan yang saya terima selama ini pun dari kumpulan tersebut,” katanya dalam temubual bersama Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebagai rekod, kebanyakan wakil rakyat Pas ketika ini tidak berjawatan di dalam parti dengan antaranya bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli tewas jawatan YDP Pas kawasan Arau dalam pemilihan parti itu, tahun lalu.

Selain Mohd. Shukri, antara wakil rakyat Pas yang tewas dalam pemilihan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Muhammad Azmir Azizan yang tewas perebutan jawatan YDP Padang Besar; Razali Saad (Simpang Empat) bagi jawatan Naib YDP kawasan Arau dan Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer), gagal menempatkan diri dalam barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) kawasan Padang Besar.

Manakala dua lagi wakil rakyat iaitu Haziq Asyraf Dun (Beseri) menjawat jawatan Ketua Pemuda Pas negeri dan Asrul Aimran Abd. Jalil (Kayang) memegang jawatan Naib YDP Kangar.

Sementara itu, Abu Bakar memahami  situasi menyebabkan mereka sering bertindak balas terhadap beliau.

“Kita faham, mereka ada ketua, jadi mesti ada tindak balas. Namun apa sekali pun, saya tidak pernah lupa enam wakil rakyat ini. Sebagai contoh, bantuan hari raya, kita bagi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) juga saya bagi, tidak pernah menganaktirikan wakil-wakil rakyat Pas di Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN