Bajet Kedah tahun depan RM1.35 bilion - Utusan Malaysia

Bajet Kedah tahun depan RM1.35 bilion

MUHAMMAD Sanusi Md. menunjukkan buku Bajet 2022 yang bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah membentangkan Bajet 2022 sebanyak RM1.35 bilion dengan jangkaan defisit dianggarkan pada 12.44 peratus atau 90.22 juta ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, peruntukan perbelanjaan mengurus yang disediakan dalam bajet tersebut berjumlah RM815.22 juta.

Menurutnya, peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan pula berjumlah 218.31 juta ringgit bagi tahun 2022. 

Katanya, bajet tersebut dirangka sebagai usaha kerajaan untuk memulihkan, mencergaskan dan merangsang kegiatan ekonomi tempatan. 

“Bagi tahun 2022, kerajaan negeri menganggarkan anggaran hasil sebanyak 725 juta ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2022 bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Muhammad Sanusi memberitahu, peningkatan ketara sebanyak RM17.41 juta berbanding tahun 2021 dalam bajet tersebut bertujuan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri ini, selain memastikan perancangan projek yang tidak dapat diselesaikan akibat Covid-19 disempurnakan.

“Kerajaan negeri peka dan telah merancang perbelanjaan dalam Bajet 2022 ini bagi membantu memulihkan dan mensejahterakan rakyat negeri ini,” ujarnya. 

Tambahnya, bejat yang dibentangkan ini adalah berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035. 

“Beberapa inisiatif pelan ini akan dimulakan pelaksanaannya pada tahun 2022 memenuhi tema ekonomi, tema rakyat dan tema alam,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 untuk diberikan kepada setiap seorang penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri.

Jelasnya, kerajaan melihat penjawat awam tetap menunaikan amanah dan tanggungjawab walaupun suasana kerja yang terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Kerajaan berharap pemberian ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam negeri untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN